Ahli Umno jangan buang parti
KUALA LUMPUR - Ahli Umno diingatkan agar tidak terus membuang Umno hanya kerana parti yang memperjuangkan bangsa Melayu itu tewas sekali selepas enam dekad memerintah.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ahli parti menerima banyak manfaat selama 60 tahun ini.
"Kita bukan orang yang kasihkan Umno hanya pada kala berada, kala senang, kala berjaya. Sekali terjatuh, jangan kita buang Umno ini. Itu bukan cara kita.
"Kita mesti membangunkan Umno kerana selama 60 tahun, kita telah menerima banyak sekali manfaat darinya.
"Apa yang kita tidak nikmati dari hasil perjuangan Umno? Jangan hanya kerana kita tewas, kita memilih untuk melihat Umno sebagai gerakan yang sifar jasa, sifar sumbangannya," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Katanya, beliau dan semua ahli menjadi sebahagian kejatuhan Umno yang tidak memungkinkan perjuangan itu ditinggalkan
"Kita tidak boleh lari daripada memikul tanggungjawab atas penolakan rakyat terhadap Umno. Saya memberitahu diri saya, seumur masa, saya akan dihantui oleh rasa bersalah kerana tewasnya Umno dan saya pasti ia akan menghantui hidup saudara sekalian juga.
"Maka kerana itu, mana mungkin kita tinggalkan Umno ini, bila saya dan kita semua menjadi sebahagian daripada kejatuhannya," katanya.
Tambahnya, peranan PH terlalu kecil dalam politik Melayu kerana pakatan kerajaan baharu itu tidak mewakili majoriti parti Melayu.
"Negara ini, sudah tidak ada lagi parti Melayu yang dominan kecuali Umno. Umno mesti menjadi âthe safety net for the Malaysâ.
"Kalau kita biarkan Umno ini tanpa peduli, siapa lagi yang akan memperjuangkan kepentingan strategik bangsa? PH tidak mewakili majoriti parti Melayu. Terlalu kecil peranannya dalam politik Melayu," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment