Tentera Zionis cederakan 240 rakyat Palestin
SEMENANJUNG GAZA - PALESTIN. Sekurang-kurangnya 240 rakyat Palestin cedera dalam serangan tentera rejim Zionis berhampiran pagar sempadan Gaza-Israel, semalam.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qedra berkata, tentera rejim menyerang penduduk Palestin yang melancarkan bantahan, insiden mencederakan beratus orang termasuk tiga pegawai perubatan dan seorang wartawan.
82 dari mangsa cedera terpaksa dipindahkan ke hospital, termasuk seorang kanak - kanak berusia 10 tahun dan pegawai perubatan wanita bernama Shorouk Abu Mesameh, yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Ketegangan semakin memuncak di kawasan sempadan sejak 30 Mac lalu, yang menandakan permulaan siri protes dikenali digelar 'The Great March of Return.', di mana rakyat Palestin menuntut hak untuk kembali ke kampung halaman mereka selepas diusir puluhan tahun lalu.
Pertempuran di Gaza menemui kemuncak pada 14 Mei lalu bersamaan ulang tahun ke-70 Hari Nakba (Malapetaka), yang juga merupakan tarikh Washington memindahkan kedutaan baharu Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Kekejaman tentera Zionis telah meragut lebih dari 170 nyawa rakyat Palestin, manakala hanya seorang anggotanya maut di tangan Palestin.
Pada 13 Jun, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditaja Turki dan Algeria, mengutuk tindakan Israel membunuh orang awam Palestin di Semenanjung Gaza.
Berada di bawah kepungan Israel sejak Jun 2007, Gaza kini dilanda kemerosotan taraf hidup, pengangguran dan kemiskinan.
Israel turut melancarkan beberapa siri perang ke atas Palestin, yang terakhir bermula pada awal Julai 2014 dan berakhir Ogos tahun sama. Pencerobohan tentera Israel membunuh hampir 2,200 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 11,100. - PressTV
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment