Kerajaan perpaduan tindakan terdesak Umno

Sunday, September 30, 2018

Kerajaan perpaduan tindakan terdesak Umno

Kerajaan perpaduan tindakan terdesak Umno

POKOK SENA - Kerajaan perpaduan yang dicanang-canangkan oleh pimpinan Umno telah menunjukkan parti itu semakin terdesak selepas tidak lagi berkuasa setelah PRU14

Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar berkata, sikap yang ditunjukkan itu bukanlah sesuatu yang baharu, malah sejak dulu lagi Umno telah menunjukkan sifat sedemikian apabila parti terdesak.

“Biar pi depa nak bercakap  sampai ‘mengigau’ jadi apa pun saya tak boleh halang depa nak bercakap tapi saya tak fikirlah akan berlaku, kalau berlaku sudah tentu sebelum pilihan raya dah berlaku, kalau dalam konteks Pas ni sebelum PRU dia tak mau, jadi macam mana sekarang dia nak bercakap kerajaan perpaduan dan sebagainya.

“Umno bagi saya sejak dulu lagi macam tu, dalam keadaan terdesak dia akan cakap soal kerajaan perpaduan tambahan ketika ini bukan sahaja terdesak lagi, tetapi dia sudah hilang kuasa dan  dia akan cakap soal kerajaan perpaduan, kita tak boleh halang apa depa nak bercakap,” katanya pada Majlis konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional Zon Utara di Penjara Pokok Sena di sini, hari ini.

Mahfuz berkata demikian sebagai mengulas harapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai penubuhan kerajaan perpaduan di antara parti itu dengan mana-mana parti politik dalam kerajaan menerusi wawancara khas bersama NSTP baru-baru ini.

Memetik laporan itu, walaupun Umno tidak menetapkan tempoh tertentu, parti itu berharap ia dicapai menerusi persetujuan bersama.

Menyentuh konvokesyen kali ini Anggota Parlimen Pokok Sena itu berkata, seramai 145 perantis (pelatih) telah dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam usaha  memberi  nilai tambah kepada mereka untuk meneruskan kehidupan apabila dibebaskan.

Setakat 31 Ogos lepas, 13,779 perantis telah berjaya didaftarkan di mana mereka terdiri daripada banduan, tahanan dan penghuni Sekolah Henry Gurney yang melibatkan 46 jenis bidang Nasional Occupational Skills Standard.

“Sejak 2012 lagi, lebih 90 peratus perantis mendapat pekerjaan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, perladangan dan perkilangan selain melakukan kerja sendiri dengan kemahiran yang dimiliki.

“Kerajaan sedia membantu mereka dengan bantuan modal untuk terlibat dalam keusahawanan dan pelaksanaanya juga dapat membantu kerajaan mengurangkan tahap kebergantungan negara kepada pekerja asing,” katanya. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment