Yakin Anwar bantu masyarakat India: Sothinathan
PORT DICKSON รข" Bekas Naib Presiden MIC Datuk S Sothinathan turun padang bagi membantu calon PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Sothinathan, yang baru-baru ini bertindak keluar MIC berkata, beliau berpendapat Presiden PKR itu adalah pilihan terbaik untuk menjadi suara penduduk Port Dickson di Dewan Rakyat.
Sothinathan pernah menjadi ahli Parlimen bagi kawasan yang dulunya dikenali sebagai Teluk Kemang selama dua penggal, susulan kemenangannya pada pilihan raya kecil yang berpihak kepada BN pada 2000 dan pada Pilihan Raya Umum 2004. MIC adalah parti komponen BN.
"Anwar seorang individu berkebolehan dan mampu membawa pembangunan serta perubahan yang besar di Port Dickson. Beliau juga akan dapat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat India bukan hanya di kawasan ini tetapi seluruh negara," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Sothinathan berkata beliau akan membantu Anwar mendekati 22 peratus pengundi India di kerusi Parlimen yang terkenal sebagai destinasi pelancongan itu bagi meraih sokongan komuniti tersebut.
Mengulas desas-desus beliau akan menyertai PKR, Sothinathan berkata tiada sebarang perancangan ke arah itu buat masa kini.
PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara PH, Pas dan lima calon Bebas. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment