Masalah teksi, Grab ke sidang Dun
KUANTAN - Adun Beserah berharap kerajaan dan pihak berwajib dapat meneliti permasalahan yang dihadapi oleh pemandu teksi dan Grab di sini.
Andansura Rabu berkata, ini bagi memberi keadilan kepada pemandu teksi dalam mencari sumber pendapatan mereka
Menurutnya, kerajaan seharusnya mengenakan syarat dan undang-undang sama terhadap pemandu Grab seperti mana pemandu teksi, di samping dapat mengurangkan beban pemandu teksi yang dikenakan pelbagai peraturan.
"Sebagai contoh, perlu diwujudkan satu stesen pemandu Grab agar tidak menggangu pemandu teksi di Terminal Stesen Kuantan.
"Mereka seolah-olah berpangkalan di sini dan mewujudkan persaingan tidak seimbang.
"Berbanding pemandu teksi dikenakan dengan permit, perlu melakukan pemeriksaan kesihatan dan kenderaan, perlu lakukan pemeriksaan dengan Puspakom namun pemandu Grab hanya perlu ada lesen memandu dan kereta sudah boleh bawa Grab.
"Disebabkan ini, daripada 150 pemandu teksi yang ada kini yang tinggal hanya 70 pemandu disebabkan mereka tidak boleh cari makan kerana persaingan hebat daripada pemandu Grab," katanya kepada Sinar Harian ketika bertemu dengan pemandu teksi di Terminal Sentral Kuantan di sini, hari ini.
Sementara itu, pihaknya akan bawa permasalahan ini dalam sidang Dun pada bulan November untuk menilai semula cara Grab beroperasi, bukan sahaja di Kuantan malah di seluruh Pahang.
Menurutnya, dirinya tidak pernah menghalang Grab beroperasi kerana diakui dapat memberi pendapatan sampingan kepada mereka namun mereka perlu dipantau supaya adil kepada pemandu teksi dan kereta sewa.
"Saya juga akan menulis surat kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Fadzilla Salleh supaya MPK dapat kurangkan yuran bayaran bulanan tempat meletak kenderaan mereka di terminal.
"Saya juga akan bertanya permasalahan ini di daerah lain supaya isu pertindihan antara pemandu teksi dan Grab dapat dijadikan isu utama dalam sidang Dun dan dapat diselesaikan dengan segera," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Dakwa pemandu Grab tak ikut peraturan]
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment