NGO bantah program libatkan Safiey Ilias, Sajat

Friday, September 28, 2018

NGO bantah program libatkan Safiey Ilias, Sajat

NGO bantah program libatkan Safiey Ilias, Sajat

IPOH - Kehadiran dua usahawan Safiey Ilias dan Nur Sajat pada program keusahawanan di Mood Republic di  Casuarina@Meru, pagi tadi, terus mendapat bantahan daripada beberapa badan bukan kerajaan di negeri ini.

Presiden Reformis Muda Perak (RMP), Roslan Ali berkata, pihak berwajib, perlu lebih tegas agar golongan lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT), tidak dijadikan sebagai tarikan kepada program yang dianjurkan.

Beliau berkata, usaha berkenaan nyata tidak bersesuaian kerana ia boleh menjadi contoh yang tidak baik kepada masyarakat, khususnya golongan muda.

Malah menurutnya, masih ramai individu atau selebriti berpengaruh yang boleh dijadikan sebagai tarikan bagi program-program sedemikian.

"Kita, RMP membantah kehadiran ikon LGBT ini pada program yang dianjurkan di Casuarina@Meru, hari ini.

"Namun kita bukan bantah program keusahawanan, malah kita sokong 100 peratus kerana inilah pentas untuk orang Melayu berniaga.

"Cuma ikon LGBT yang digunakan tidak sesuai. Kenapa tak panggil artis lelaki atau artis wanita yang sebenar? Kenapa masih perlu promosikan ikon LGBT?" katanya.

Roslan berkata demikian pada sidang media setelah mengetuai demonstrasi membantah kehadiran dua ikon LGBT itu pada program Mood Republic di  Casuarina@Meru, pagi tadi.

Dianggarkan lebih 20 ahli Reformis Muda Perak (RMP), hadir  bagi menyatakan bantahan berkenaan yang diberitakan bakal diteruskan hari ini oleh beberapa badan bukan kerajaan seperti Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak (Maap) dan lain-lain.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment