PRK PD mungkin tujuh penjuru?

Friday, September 28, 2018

PRK PD mungkin tujuh penjuru?

PRK PD mungkin tujuh penjuru?

PORT DICKSON - Perkembangan PRK Parlimen Port Dickson menjadi semakin menarik meskipun Umno dan BN tidak meletakkan calon, selepas ramai pihak termasuk yang individu tampil menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi itu.

Setakat ini Pas dan dua individu telah menyatakan hasrat untuk mengambil bahagian di kerusi berkenaan, selain Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar mewakili Pas; Ahmad Kamarudin mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM); bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad dan personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong sebagai calon bebas.

Bagaimanapun, bekas senator Datuk Mohd Ezam Mohd Nor yang juga merupakan bekas pegawai Anwar pula belum mengumumkan pendiriannya.

Kelmarin, Mohd Ezam dipetik sebagai berkata mengakui menerima desakan daripada rakan lama untuk beliau bertanding dalam PRK itu.

Terbaharu, bekas pembantu kepada calon Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat keputusan bertanding menentang bekas ketuanya itu dalam PRK Parlimen Port Dickson.

Beliau berkata, keputusan yang diambil itu adalah 'keputusan peribadi'.

Sekiranya semuanya jadi, PRK Parlimen Port Dickson dijangka akan menyaksikan pertembungan tujuh penjuru.

Bagaimanapun, jumlah calon yang bertanding hanya akan diketahui esok pada hari penamaan calon yang akan bermula pada 9 pagi ini di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi dan 9 Oktober hari pengundian awal.

Sementara itu, Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar meramalkan Anwar akan menang dengan mudah pada PRK kali ini dan berkemungkinan Pas akan hilang deposit berbanding calon Bebas.

Beliau berkata, sebenarnya Pas tidak perlu meletakkan calon menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tambahan pula kawasan berkenaan bukan kubu kuat mereka.

"Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru atau lebih, sudah pasti kemenangan untuk Anwar lebih mudah kerana majoriti pengundi bukan Melayu akan 'solid' kepada beliau.

"Pengundi Melayu akan berpecah kepada PH, Pas dan calon Bebas. Mungkin calon Pas juga boleh hilang wang deposit mereka, berbanding calon Bebas,รข€ katanya kepada Sinar Harian.

Selain kewibawaan dimiliki Anwar, Rusdi berkata, kehadiran Mohd Isa juga menghangatkan lagi saingan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu untuk membolehkan Anwar bertanding.

Pada PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Kerusi Parlimen Port Dickson, yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi Dun iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PKR).



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment