Duda sorok ganja bernilai RM112,500 dalam rumah

Sunday, September 30, 2018

Duda sorok ganja bernilai RM112,500 dalam rumah

Duda sorok ganja bernilai RM112,500 dalam rumah

SUNGAI PETANI â€" Seorang duda dan anak lelaki berusia 11 tahun ditahan bersama 44.52 kilogram ganja bernilai RM112,500 dalam rumah mereka di Kampung Permatang Pasir, Kota Kuala Muda dalam serbuan Jumaat lalu jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ganja mampat itu disembunyikan di beberapa lokasi dalam rumah tersebut.

“Satu ketulan ganja mampat ditemui dalam plastik di ruang tamu, 25 ketulan lagi ditemui bawah tilam dalam bilik, 12 ketul dalam kotak kertas depan bilik dan lapan ketul dijumpai dalam beg plastik hitam di hadapan bilik,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing ke atas buruh berusia 46 tahun itu mendapati positif ganja manakala bacaan ujian air kencing terhadap anaknya yang masih belajar di tahun lima mendapati negatif.

“Semakan juga mendapati suspek bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak lima tahun kebelakangan ini dan menjadikan kawasan pengedaran meliputi Seberang Perai Utara dan Kuala Muda.

“Dia pernah ditangkap namun terlepas atas sebab-sebab tertentu, antara rekod lampau termasuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (1952), Seksyen 39A ADB 2 kes, dan Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat dari mana bekalan terbabit diperolehi.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari sehingga 5 Oktober depan manakala kanak-kanak 11 tahun itu diserah kepada ibunya dengan jaminan polis.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Selain itu, Adzli berkata, serbuan dilakukan pada hari sama jam 10.30 malam di Kampung Guar Perahu, Jeniang membabitkan tangkapan seorang warga asing berusia 44 tahun dengan 31 botol air ketum dan 5.5 kilogram daun ketum bernilai RM645.

Menurutnya, lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, polis turut membuat serbuan di Taman Sri Utama, Gurun, Rabu lalu jam 3.30 petang membabitkan tangkapan seorang lelaki berusia 27 tahun bersama dadah disyaki heroin, syabu dan ganja bernilai RM6,000.

Sementara itu, menurut Adzli, tangkapan di Kota Kuala Muda adalah kejayaan terbesar di daerah ini setakat ini.

“Kita tak mahu jadikan daerah Kuala Muda sebagai hub pengedaran dadah dan serius mahu membanteras kegiatan pengedaran dadah di mana setiap hari ada sahaja tangkapan dilakukan biarpun melibatkan kes kecil,” katanya.

Beliau bagaimanapun meminta kerjasama orang awam menyalurkan maklumat kepada polis membabitkan kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment