Polis siap siaga hadapi ancaman banjir

Sunday, September 30, 2018

Polis siap siaga hadapi ancaman banjir

Polis siap siaga hadapi ancaman banjir

KUALA TERENGGANU - Seramai 2,900 anggota polis di Terengganu bersiap siaga menghadapi banjir pada musim tengkujuh di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, kesemua anggota polis itu akan digerakkan sebaik banjir berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh, polis kini bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan kenaikan paras air sungai khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir.

"Selain daripada kekuatan sumber manusia, pihak kami juga memastikan bot bersama enjin yang disediakan berada di dalam keadaan baik untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya bencana itu melanda negeri ini.

"Pihak kami juga bekerjasama dengan agensi keselamatan lain bagi memastikan kelancaran proses pemindahan mangsa di sesuatu kawasan selain memastikan keselamatan kesemua mangsa terjamin," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada satu sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Terengganu, di sini.

Selain itu, Aidi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan cuba menangani masalah balai dan pondok polis yang sering ditenggelami air setiap kali banjir melanda Terengganu.

"Terutamanya Balai Polis Kuala Jengai, Dungun dan Pondok Polis Felda Tenang, Besut, yang mana dua lokasi ini sering tenggelam setiap kali musim banjir disebabkan kedudukannya yang sangat rendah.

"Kita sudah mengenalpasti permasalahan balai dan pondok polis ini serta dalam usaha menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera," katanya.

Sementara itu, Majlis Serah dan Terima Tugas itu menyaksikan penyerahan kuasa antara bekas Timbalan Ketua Polis, Datuk Idris Abdullah dan Timbalan Ketua Polis baharu yang juga bekas Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Allaudeen Abdul Majid.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment