Martabatkan kembali 'Masigit Lawas'

Tuesday, November 28, 2017

Martabatkan kembali 'Masigit Lawas'

Martabatkan kembali 'Masigit Lawas'

BAGAN SERAI - Diiktiraf Jabatan Warisan Negara sebagai salah satu bangunan bersejarah di Kerian, namun keadaan 'Masigit Lawas' di Masjid Tinggi, di sini yang uzur dan tidak terurus ketika ini menimbulkan keresahan Kelab Kulaan Malaysia(KKM).

Pernah dijadikan lokasi sementara operasi Galeri Masyarakat Banjar pada 2011, 'Masigit Lawas' bermaksud 'Masjid Lama' dalam loghat tempatan yang dibina sejak1890an, kini memerlukan kerja membaik pulih serius untuk dipulihara.

Pengerusi Kelab Kulaan Malaysia(KKM), Ir Kamarullaffie Ahmad berkata, setelah dinasihatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria supaya operasi galeri masyarakat Banjar dipindahkan dari Masigit Lawas pada tahun 2012, masjid itu kemudian diletakkan di bawah seliaan jawatankuasa kariah Masjid Al-Athar yang terletak bersebelahannya.

Menurutnya, masalah kekangan kewangan menyebabkan jawatankuasa kariah masjid tidak dapat membaik pulih beberapa kerosakan dialami masjid bersejarah itu.

"Ketika ini, bahagian bumbung masjid itu mengalami kebocoran serius, menyebabkan permaidani di bahagian lantai kini rosak akibat ditakungi air hujan.

"Selain itu, keadaan struktur kayu di bahagian luar masjid dan menara azan juga dilihat sudah reput dimakan anai-anai dan perlu dibaik pulih segera bagi mengelakkan masjid itu terus terbiar,"katanya kepada media sewaktu mengadakan tinjauan Masigit Lawas, di Masjid Tinggi di sini semalam.

Jamaluddin(kiri) dan Ir Kamarullaffie menunjukkan keadaan permaidani Masigit Lawas yang terjejas teruk akibat hujan dan banjir kilat.

Turut hadir, Setiausaha Masjid Al-Athar, Jamaludin Ashaari.

Ir Kamarullaffie berkata, KKM melihat kepentingan pihak berwajib memulihara segera Masigit Lawas daripada terus terbiar dan rosak kerana bangunan itu diiktiraf sebagai salah satu bangunan bersejarah negara oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2006.

Menurutnya, reka bentuk masjid yang mempunyai tiga lapisan bumbung adalah 100 peratus berpandukan seni bina masyarakat Banjar di Banjarmasin, Indonesia dan dianggap unik.

"Sehingga kini, Masigit Lawas dianggap satu-satunya bangunan bersejarah yang bercirikan peradaban masyarakat Banjar di negara ini dan sememangnya menjadi kebanggaan etnik kami dari seluruh negara.

"Seni bina dan reka bentuk masjid itu yang unik dan sofistikated sememangnya mampu menjadi salah satu produk tarikan pelancong bagi membolehkan pengunjung lebih memahami adat kebudayaan masyarakat Banjar di Kerian,"katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment