Pemuda UMNO desak batalkan caj tiket

Monday, January 1, 2018

Pemuda UMNO desak batalkan caj tiket

Pemuda UMNO desak batalkan caj tiket

ALOR SETAR: Tindakan mengenakan caj tambahan RM3 sehala bagi tiket feri Langkawi yang dibeli di kaunter sehingga menyebabkan harganya naik disifatkan tidak bertanggungjawab dan sabotaj kepada kerajaan.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata walaupun tidak membabitkan penduduk tetap Langkawi, tindakan itu tidak kena pada masanya kerana ia secara langsung menaikkan kemarahan rakyat.

"Rakyat perlu sedar bahawa tindakan ini diambil tanpa mengambil kira pandangan kerajaan negeri dan Pemuda UMNO Kedah amat yakin kerajaan negeri sama sekali tidak akan membenarkan perkara ini berlaku.

"Oleh yang demikian Pemuda UMNO Kedah menuntut pihak syarikat menarik balik caj perkhidmatan RM3 yang dikenakan.

"Bagi Pemuda UMNO Kedah caj ini tidak relevan sama sekali kerana rata-rata perkhidmatan feri sedia ada masih kurang memuaskan dan perlu diperbaiki," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenaikan tambang feri susulan caj tambahan RM3 bagi kedua-dua laluan iaitu Kuala Kedah dan Kuala Perlis mencetus kontroversi apabila ia tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Caj berkenaan tidak dikenakan kepada penduduk tetap Langkawi dan mereka yang membeli tiket dalam talian.

Caj tambahan pembelian tiket di kaunter itu didakwa untuk menggalakkan orang ramai membeli tiket dalam talian.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment