Elak lapor polis, saman guru

Tuesday, January 30, 2018

Elak lapor polis, saman guru

Elak lapor polis, saman guru

PUTRAJAYA: Tindakan ibu bapa membuat laporan polis dan menyaman guru perlu dielakkan daripada menjadi budaya kerana ia hanya memberi tekanan kepada semua pihak terbabit.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata tindakan menyaman itu bukan saja memberi tekanan kepada guru dan pelajar, tetapi juga ibu bapa berkenaan.

"Kalau boleh, kita selesaikan secepat mungkin perkara berbangkit pada peringkat sekolah, sebab itu Menteri Pendidikan (Datuk Seri Mahdzir Khalid) cadangkan ia diselesaikan pada peringkat sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sebagainya, ini yang terbaik.

"Bila sudah jadi kes mahkamah, semua pihak akan merasa tekanannya, termasuk ibu bapa itu sendiri. Sebab itu kita beritahu Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah, selesaikan pada peringkat mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang mendedahkan ada ibu bapa membuat laporan polis dan menggunakan peguam terhadap guru di seluruh negara hampir setiap minggu.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penganjuran Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (Jelajah Pendidikan KPM) 2018.

Hadir sama, Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan, Hazran Mohamed dan Pengurus Besar Bahagian Pendidikan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Farah Ezrin Mohd Rashidi.


AMIN (lima dari kanan) bersama Hazran (lima dari kiri) dan Farah Ezrin bergambar selepas majlis penyerahan poster Jelajah Pendidikan KPM 2018 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sementara itu, Amin berkata Jelajah Pendidikan KPM 2018 akan menjadi pentas terbaik kepada masyarakat terutama di luar bandar, untuk mendapatkan maklumat mengenai sistem pendidikan negara.

Katanya, program turun padang itu akan menumpukan kepada kejayaan bidang pendidikan dan keberhasilan murid melalui Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Siri jelajah ini akan dilaksanakan di enam lokasi terpilih untuk memberi tumpuan kepada kawasan yang memerlukan lebih perhatian.

"Jelajah ini akan bermula di Kajang, Selangor pada 8 dan 9 Februari depan sebelum diteruskan di Langkawi (22-24 Februari); Pasir Puteh, Kelantan (8-10 Mac); Teluk Intan, Perak (30 Mac-1 April); Temerloh, Pahang (13-15 April) dan Tawau, Sabah (20-24 April).

"Menerusi program ini, masyarakat akan didedahkan dengan pelbagai maklumat terkini, malah pengunjung juga boleh bertanyakan pelbagai soalan berkaitan pendidikan sama ada pada peringkat prasekolah sehingga pendidikan menengah," katanya.

Tambah Amin, jelajah itu turut menerapkan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang membabitkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi menyediakan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat.

"Antara agensi terbabit termasuk Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK); Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment