Sasar ulangi pencapaian Incheon
PERSATUAN Pelayaran Malaysia (MSA) mahu mengulangi kejayaan sama dengan pungutan satu emas di Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, Ogos depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mazlan Othman berkata, pihaknya bakal menghantar lima atlet dengan harapan mereka mampu mengulangi pencapaian empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan.
"Kita akan hantar lima atlet ke sana (Indonesia). Sudah pasti kita mahu mereka memberi prestasi yang baik seperti yang kita harapkan.
"Sukan Asia di Incheon empat tahun lepas, sukan pelayaran telah memenangi satu emas daripada enam emas, jadi kita harap prestasi itu dapat dikekalkan di Indonesia," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi sukan itu di Majlis Sukan Negara, semalam,
Dalam temasya di Incheon empat tahun lalu, pelayar negara memperoleh satu emas menerusi Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz dalam saingan 420.
Bagaimanapun misi tersebut tampak sukar apabila dua acara di mana pelayar negara mempunyai peluang meraih emas tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.
Mazlan akui, ketiadaan acara optimis dan antarabangsa 420 memberi sedikit kesukaran buat persatuan itu menjamin sebutir emas kali ini.
Bagaimanapun beliau berharap atlet pelayaran tidak patah semangat dan berusaha sedaya upaya untuk menjelma pingat buat negara.
"Ya, memang dua acara kegemaran kita tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia kali ini.
"Tapi, kita masih berharap agar kategori Laser dan International mampu memberi medal yang kita mahukan," ujarnya.
Dalam pada itu, Mazlan turut memberitahu atlet pelayaran akan menghadapi beberapa kejohanan sebagai persiapan ke Indonesia.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment