Warga emas mengesot tinggal dalam kediaman usang
KOTA BHARU - Seorang warga emas bukan sahaja terpaksa mengesot untuk bergerak, malahan mandi dan menguruskan diri di kawasan tempat tidurnya selepas mengalami masalah saraf sejak tiga tahun lalu di Kampung Paya, Kedai Mulong di sini.
Rokiah Yusoff, 77, yang turut menghadapi mengalami penyakit darah tinggi dan kencing manis juga mengalami masalah penglihatan yang kabur dan tidak mampu melihat dengan jelas.
Menurut Rokiah, dia kini menetap di kediaman pusaka sejak lebih 70 tahun lalu bersama anak sulung, Norma Hussin, 58, dan dua cucunya, Sabri Mohamad, 27, dan Wardah Mohamad, 24.
"Makcik dah tua dan tak larat nak berjalan selepas alami masalah saraf dan sakit tulang pinggul.
"Sekarang ini semua makan minum dan urusan seharian makcik turut dibantu Norma yang juga turut menjaga makcik setelah makcik tidak larat, " katanya.
Rokiah berkata, keadaan kediamannya juga kini semakin uzur dan hampir roboh menyembah bumi ekoran dimakan anai-anai dan ada ketika kayu reput satu persatu disebabkan binaan kayu yang tidak lagi kukuh.
"Di kediaman usang inilah makcik membesarkan anak-anak lagipun hanya inilah harta makcik.
"Kalau dapat bantuan rumah, makcik amat bersyukur, lagipun harapan makcik walau dah uzur dapatlah tinggal di kediaman lebih selesa," katanya.
Sementara itu, Norma berkata, dia turut membeli makanan dan lauk pauk di pasar dengan menunggang basikal sejauh 2 kilometer.
"Selagi termampu saya akan terus menjaga ibu yang sakit dan harapan saya agar dia dapat tinggal dalam kediaman lebih selesa ekoran dia tidak berapa sihat dan perlukan perhatian lebih.
"Setakat ini perbelanjaan seharian dibantu Wardah yang bekerja sebagai pembantu kedai dan memperoleh RM400 sebulan," katanya.
Norma berkata,namun begitu ibunya mengharapkan agar turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tida cukup wang perbelanjaan memandangkan ibunya juga perlu pakai lampin pakai buang jika dia tidak larat ke bilik air," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment