Dua mahasiswa UMK bertuah
JELI - Satu pengiktirafan buat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) apabila dua mahasiswa dari UMK Kampus Jeli terpilih mengikuti Sasambo Greeneration Camp 3.0 yang diadakan di Lombok, Indonesia baru-baru ini.
Kedua-dua mahasiswa jurusan Sains Kelestarian dari Fakulti Sains Bumi itu merupakan antara 100 daripada lebih 900 peserta dari seluruh dunia yang memohon untuk mengikuti program berkenaan.
Salah seorang peserta, Siti Laylatu Syarifah Munasir berkata, program anjuran Indonesia Global Network itu disertai 10 negara termasuk India, Afghanistan dan Pakistan.
âPeserta terpilih mengikuti program ini terdiri daripada generasi muda yang peduli tentang alam sekitar pada masa hadapan selain mempunyai minat dan usaha untuk memuliharanya.
âMelalui program ini, peserta dibawa ke beberapa lokasi dan industri yang berkaitan, antaranya Eco-Wisata Mangrove Cemara, Banyu Mulek Village, The Griya Art Lombok dan Kawis Krisant untuk melihat dan mempelajari dengan lebih dekat tentang usaha-usaha yang dilakukan masyarakat Lombok dalam melestarikan alam sekitar," katanya kepada Sinar Harian di sini, kelmarin.
Menurutnya, dia dan seorang lagi peserta dari UMK, Muhammad Amirul Fitri Hasaan turut tidak melepaskan peluang mengikuti bengkel pembuatan kraftangan daripada sisa pepejal seperti kulit telur dan kertas.
Katanya, mereka juga berpeluang merasai sendiri pengalaman membuat tempat abu rokok dan cerek air daripada tanah liat.
Tambahnya, antara objektif program itu adalah untuk meningkatkan lagi nilai kesedaran dan kepentingan penjagaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda dan perkara itu turut direalisasikan lagi dengan aktiviti penanaman pokok bakau serta pembuatan kompos Takakura di Bank Sampah NTB Mandiri.
âKem alam sekitar di peringkat antarabangsa ini telah membuka mata para peserta berkenaan kepentingan kehidupan lestari yang menjaga dan memulihara alam sekitar di samping meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat setempat di Lombok," katanya.
Siti Laylatu Syarifah berkata, mereka juga berkesempatan mengunjungi Puncak Pusuk, Gunung Rinjani Lombok dan Gili Trawangan yang diiktiraf sebagai World Geopark oleh UNESCO dan merupakan pulau tercantik di Lombok.
âSebagai peserta, saya harap program yang turut mendapat kerjasama Youth Opportunities sebagai rakan media strategik ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment