Kerajaan kaji masuk semula Seksyen 88A

Tuesday, January 30, 2018

Kerajaan kaji masuk semula Seksyen 88A

Kerajaan kaji masuk semula Seksyen 88A

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Akta 164) bagi memasukkan semula Seksyen 88A berkaitan status penukaran agama anak.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin yang memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi, hampir 10 tahun lalu kepada Islam, adalah terbatal dan tidak sah mengikut undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan itu dan mahu semua pihak turut menghormati keputusan yang dibuat mengikut sistem kehakiman negara.

"Kami akan melihatnya (mengkaji). Apa pun, kami menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

"Adalah sukar untuk memuaskan hati semua pihak, namun adalah penting untuk memastikan kita menghormati sistem kehakiman dan prosesnya.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan itu dibuat untuk kepentingan rakyat Malaysia keseluruhannya. Kita kena terima keputusan mahkamah tertinggi negara," katanya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini, semalam.

Beliau mengulas sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula Seksyen 88A yang digugurkan dalam pindaan Akta 164 di Dewan Rakyat, sebelum ini kerana mendapat tentangan.

Seksyen 88A sebelum ini dibawa bersama pindaan Akta 164 pada November 2016, namun kerajaan kemudian menggugurkannya dalam pembentangan semula Rang Undang-Undang (RUU) itu Ogos tahun lalu susulan bantahan beberapa pihak, antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang menyifatkan ada pindaannya bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam.

Seksyen 88A yang dicadangkan adalah mengenai penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Kelmarin, panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, sebulat suara membenarkan rayuan Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya, iaitu Tevin Darsiny, 21; Karan Dinish, 20 dan Prasana Diksa, 9, kepada Islam.

Dalam penghakiman 99 muka surat yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Bagaimanapun, keputusan itu mengecewakan banyak pihak, terutama badan bukan kerajaan berkaitan Islam.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia menyifatkan keputusan itu sebagai menyedihkan dan contoh aneh dalam perundangan.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Kajian Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, pula menyifatkan tafsiran sempit berhubung peranan Mahkamah Syariah adalah tindakan ganjil.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment