DBKL pasang pemisah 'flexipole' di laluan basikal

Tuesday, January 30, 2018

DBKL pasang pemisah 'flexipole' di laluan basikal

DBKL pasang pemisah 'flexipole' di laluan basikal

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memasang pemisah laluan basikal yang lebih selamat bagi menggantikan alat lama yang dikatakan berbahaya kepada pengguna jalan.

Pemasangan alat baharu itu dijangka siap sepenuhnya dalam bulan Februari ini.

Pemisah jenis 'flexipoles', tiang plastik berbentuk silinder dan mempunyai jaluran pantulan cahaya yang banyak digunakan untuk membahagikan laluan di jalan raya di Malaysia, dilihat lebih sesuai menggantikan pemisah getah berkenaan.

Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah, berkata sebagai permulaan pemisah baharu itu akan dipasang di kawasan kritikal sebelum digunakan di sepanjang 11.9 kilometer laluan khas berkenaan.

"Sebagai permulaan DBKL akan pasang 'flexipole' di jalan yang kerap dijadikan sebagai kawasan memberhentikan kenderaan. Kita tidak mahu pengguna lain menyalahgunakan laluan khas ini dengan meletakkan kenderaan mereka,

"Hingga kini, hampir 99 peratus laluan basikal sudah siap dan hanya tinggal proses memperkemaskannya sahaja. Seterusnya, kita rancang pemisah itu dipasang sepanjang laluan itu." katanya kepada BH ketika dihubungi, hari ini.

Pada 22 Januari lalu, DBKL menanggalkan semua pemisah getah di laluan basikal berkenaan berikutan insiden penunggang motosikal cedera akibat kemalangan di laluan khas berkenaan.

Beberapa gambar insiden itu turut viral di media sosial sehingga menimbulkan persoalan mengenai kewajaran dan tahap keselamatan alat berkenaan terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Berhubung dakwaan tekstur permukaan laluan basikal dicat tebal dan licin ketika hujan, Mahadi berkata ia selamat dan dibuat mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

"Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL sudah membuat kajian dan semakan kualiti 'kadar geseran' dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

"Ia selamat, namun kita akan pantau dan sedia membuat penambahbaikan pada laluan berkenaan. Malah di kawasan yang kritikal akan dipasang lebih banyak logo basikal agar pemandu kenderaan bermotor peka dengan kewujudan laluan ini." katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling selain mematuhi had laju yang ditetapkan di kawasan bandar terutama di kawasan laluan basikal bagi mengelakkan kemalangan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment