TINDAKAN remaja lelaki menggunakan nombor pendaftaran palsu pada motosikal Yamaha RXZ miliknya mengundang padah apabila dia ditahan dalam Ops Bersepadu Ambang Tahun Baru di sekitar Bandaraya Kota Setar bermula semalam hingga hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail berkata, remaja berusia 18 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran digunakan itu adalah palsu dan dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 108 (30 (F) Akta Pengangkutan 1987.
Menurutnya, dalam operasi bermula 10 malam hingga 5 pagi itu membabitkan operasi bersepadu bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di mana sebanyak 151 saman dikeluarkan atas 169 kesalahan trafik.
"Antara kesalahan dilakukan adalah tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran, insurans, tiada pelekat L dan P serta tidak memakai topi keledar.
"Sebanyak 92 buah motosikal dan 52 kereta diperiksa dalam operasi bersepadu itu di mana seorang lelaki turut ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk serta kes disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.
Yazri berkata, sementara itu, sebanyak 34 saman atas 41 kesalahan trafik turut dikeluarkan pihak JPJ dalam operasi itu hasil pemeriksaan ke atas 43 buah motosikal dan 27 kereta.
"Seramai lima lelaki dan seorang wanita turut ditahan AADK selepas ujian saringan ke atas mereka didapati positif dadah," katanya.
sumber: hmetro
0 comments:
Post a Comment