Bicara kes JANS dijalankan serentak mulai 21 Februari

Monday, January 29, 2018

Bicara kes JANS dijalankan serentak mulai 21 Februari

Bicara kes JANS dijalankan serentak mulai 21 Februari

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan perbicaraan kes pengubahan wang haram bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Chee Kong dijalankan serentak bersama kes bekas pengarah jabatan sama dan dua lagi individu bermula 21 Februari depan.

Tiga tertuduh terbabit ialah bekas Pengarah JANS, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 55; isterinya, Fauziah Piut, 52, dan seorang lagi bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 63.

Ketiga-tiga mereka didakwa atas 37 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram bernilai RM61.57 juta pada 29 Disember 2016, manakala Chee Kong, 53, yang dihadapkan ke mahkamah pada 13 Disember lalu, berdepan 146 pertuduhan berkaitan kes sama bernilai RM32.923 juta.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Hakim Abu Bakar Manat, ketika prosiding pengurusan kes Chee Kong di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini, menetapkan 21 Februari hingga 23 Februari depan untuk perbicaraan serentak keempat-empat tertuduh.

Abu Bakar berkata, keputusan itu mengambil kira kedudukan kes semua tertuduh yang berkaitan antara satu sama lain, selain pihak pendakwaan menggunakan saksi sama untuk semua tertuduh.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, manakala Chee Kong diwakili barisan pembelaan yang diketuai peguam Roland Cheng.

Pada 13 Disember lalu, Chee Kong mengaku tidak bersalah atas 78 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) AMLATFA 2001 kerana memiliki 70 bidang tanah hasil aktiviti haram menerusi 78 transaksi dengan nilai pindah milik sebanyak RM12.705 juta.

Tertuduh turut tidak mengaku bersalah terhadap 68 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) AMLATFPUAA dengan enam kesalahan memiliki wang tunai daripada aktiviti haram berjumlah RM7.93 juta, termasuk RM1.978 juta dalam bentuk mata wang asing.

Sementara itu, pada 29 Disember 2016, Awang Mohd Tahir mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) AMLATFA 2001 dan Seksyen 4 (1) (b) AMLATFPUAA 2001.

Pada tarikh sama, Fauziah dan Lam Beng masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap 19 pertuduhan yang bernilai RM2.2 juta dan empat pertuduhan bernilai RM 2.38 juta mengikut Seksyen 4 (1) (b) AMLATFPUAA 2001.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment