Inspektor dituduh terima suapan RM3,000
KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menerima suapan RM3,000 sebagai dorongan meringankan kesalahan seorang suspek kes dadah yang disiasatnya.
Tertuduh, Lee Beng Oui, 37, yang juga Inspektor di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang suapan bernilai RM3,000 daripada seorang anggota polis, Koperal Aziz Abdullah yang mewakili bapa kepada tangkapan kes dadah yang disiasatnya, iaitu Asmadi M Ali, di hadapan sebuah rumah beralamat No 1, Blok Ezora Perumahan Polis, Bukit Mentok Kemaman, pada jam 11.45 malam 29 Februari 2016.
Suspek terbabit ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah, namun suapan diberikan itu adalah sebagai dorongan untuk meringankan kesalahan memiliki dadah.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.
Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, Mohamad Haldar menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment