Ramai teruja saksikan Gerhana Supermoon selepas 152 tahun

Wednesday, January 31, 2018

Ramai teruja saksikan Gerhana Supermoon selepas 152 tahun

Ramai teruja saksikan Gerhana Supermoon selepas 152 tahun

KUALA LUMPUR: Tiga fenomena ke atas bulan yang berlaku serentak malam tadi iaitu 'Super Blue Blood Moon' atau 'Gerhana Supermoon' yang kali terakhir berlaku pada 31 Mac 1866 iaitu 152 tahun lalu, menyaksikan orang ramai di seluruh negara berkumpul untuk menyaksikan sendiri fenomena luar biasa itu.

Mereka berkumpul di beberapa lokasi seluruh negara termasuk Planetarium Negara; Balai Cerap Teluk Kemang, Negeri Sembilan; Balai Cerap Selangor dan Balai Cerap Al-Khawarizmi, Melaka.

Lokasi lain termasuk Balai Cerap KUSZA, Pantai Tok Jembal, Terengganu; Menara Tun Mustapha dan Pantai Kampung Tanjung Aru, Sabah; Balai Cerap Kota Bharu, Kelantan; Masjid Putra, Putrajaya dan masjid serta surau yang terbabit menganjurkan aktiviti mencerap gerhana bulan penuh.

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam satu kenyataan, berkata gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi.

Kejadian itu menyaksikan bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara kepada warna kemerahan dan kemudiannya kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.

"Warna kemerahan itu berbeza daripada kejadian gerhana bulan yang biasa kita saksikan setiap tahun. Kejadian ini berlaku kerana bulan melepasi kedudukan Perigee (pada 30 Januari) dengan jarak 358,993 dari bumi.

"Fenomena ini adalah gerhana bulan penuh paling istimewa, Gerhana Supermoon dan paling dekat dengan bumi (jarak kurang 360,000 kilometer dari bumi)," katanya.

Selain Malaysia, negara lain yang bertuah menyaksikan fenomena luar biasa itu adalah Timur Eropah, Timur Afrika, Asia, Australia dan Amerika Utara.

Masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat sunat Khusuf secara berjemaah selepas solat Isyak atau tepat pada waktu berlaku gerhana bulan sebagai tanda mensyukuri kekuasaan Allah SWT.

Di LANGKAWI: Seramai 300 penduduk teruja apabila berpeluang melihat sendiri kombinasi serentak tiga fenomena bulan iaitu Supermoon, 'bulan biru' dan 'gerhana bulan' sempena Program Pencerapan Awam Bulan Gerhana Penuh anjuran Balai Cerap Negara Langkawi (BCNL) di sini.

Tinjauan BH mendapati, orang ramai tiba secara berperingkat mulai jam 7.30 malam sebelum disambut kakitangan BCNL diketuai Penolong Penyelidik Observatori Negara Langkawi (ONL) Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Karzaman Ahmad.

Cuaca cerah membolehkan orang ramai membuat pencerapan menggunakan enam teleskop mudah alih berkuasa tinggi, selain tayangan langsung fenomena itu ke layar televisyen di lobi BCNL.

Penolong Penyelidik ANGKASA, Nor Rafidah Saibaka, berkata gerhana bulan yang boleh dilihat di Langkawi bermula jam 6.51 petang sebelum mencapai fasa gerhana penuh maksimum jam 9.29 malam dan berakhir jam 12.08 tengah malam.

Di KUALA TERENGGANU: Kira-kira 200 pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena gerhana bulan 'Super Blue Blood Moon' di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) Kampung Laut, di sini.

Pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat menunggu untuk menyaksikan gerhana terbabit sejak jam 7 malam tadi.

Selain melakukan aktiviti pencerapan gerhana bulan dengan menggunakan empat jenis teleskop yang disediakan PSKT, pengunjung yang beragama Islam juga tidak melepaskan peluang menunaikan solat sunat gerhana bulan di ruang legar pusat sains berkenaan.

Pegawai Sains PSKT, Mohd Hakimi Awang Su berkata, program berkenaan bermula pada jam 7 dan akan berakhir kira-kira jam 11.30 malam.

"PSKT menyediakan dua telekop manual iaitu Meade dan dua teleskop automatik atau lebih dikenali Celestron untuk kemudahan orang awam yang ingin menyaksikan fenomena ini.

Bagaimanapun, di PUTRAJAYA, pencerapan bagi menyaksikan Gerhana Supermoon terjejas berikutan hujan sejak jam lima petang.

Walaupun hujan ia sedikit pun tidak menghalang lebih 500 pengunjung untuk beratur bagi menggunakan teleskop berkomputer yang disediakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Masjid Putra Presint 2, di sini.

Penolong Pengarah Unit Falak JAKIM, Shahril Azwan Hussin, berkata sepatutnya fasa gerhana bermula pada jam 6.51 petang iaitu bulan memasuki bayang umbra diikuti pada jam 7.48 malam gerhana separa bermula.

"Pada jam 8.51 malam gerhana bulan penuh bermula sehingga mencapai tahap kemuncak pada jam 9.29 malam. Gerhana dijangka berakhir pada jam 12.08 tengah malam.

"Namun awan yang meliputi keadaan bulan itu menyukarkan penduduk di sini untuk melihat fenomena terbabit," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment