Ancaman bom 'Daesh' tidak benar - Wan Ahmad Najmuddin
KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 pusat servis sebuah syarikat kenderaan import di lapan buah negeri, menerima panggilan ancaman bom dari individu yang mendakwa sebagai kumpulan pengganas Daesh, semalam.
Bagaimanapun hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia, di kesemua premis berkenaan mendapati ancaman itu adalah tidak benar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata sebaik menerima maklumat pihaknya menjalankan penugasan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
"Selepas kita menjalankan pemeriksaan, kita dapati semua ancaman yang dilaporkan suspek kepada kakitangan semua pusat servis itu tidak benar.
"Pada masa ini pihaknya di setiap negeri yang terbabit masih menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenalpasti individu yang membuat panggilan berkenaan," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.
Beliau berkata meskipun ianya adalah panggilan palsu, sebanyak 12 laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan.
"Untuk peringkat awal ini kita masih belum dapati mengetahui motif sebenar suspek yang melakukannya namun siasatan sedang dilakukan," katanya.
Sementara itu, sumber kakitangan syarikat berkenaan mendakwa antara premis yang dihubungi adalah di sekitar Lembah Klang, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Kelantan.
"Menerusi maklumat dari grup Whatsapp syarikat kami, suspek mula menghubungi cawangan pusat servis sejak jam 2.40 petang hingga 7.15 malam.
"Suspek memaklumkan kononnya ada bom di dalam pusat servis yang dihubungi dan meminta semua kakitangan dan mekanik lari menyelamatkan diri," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment