Tak mengaku salah tipu pakej umrah
ROMPIN: Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret Rompin, di sini, hari ini, terhadap 11 tuduhan menipu pakej umrah membabitkan kerugian RM44,000 sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Zaiton Man, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.
Mengikut kertas pertuduhan, Zaiton atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ton didakwa menawarkan pakej umrah yang tidak wujud hingga memperdayakan semua mangsa untuk menyerahkan wang tunai dan memindahkannya ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Beliau melakukan kesalahan itu di FELDA Keratong, Muadzam Shah dan Bandar Tun Razak, Rompin antara Disember 2016 hingga Oktober 2017.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Syamsul Kahar Ahmad Nadri, manakala tertuduh diwakili peguam Osman Abdullah.
Zaiton menerusi peguamnya turut memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan dia hanya suri rumah dan bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja anggota pasukan keselamatan dengan gaji RM3,000 sebulan.
Najwa kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,500 dan menetapkan 15 Februari ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum itu, seorang lelaki dipercayai suami tertuduh mengugut untuk menyaman wartawan yang hadir untuk membuat liputan kes berkenaan jika gambar isterinya disiarkan.
Keadaan itu menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara petugas media dan lelaki berkenaan sehingga menarik perhatian orang ramai yang hadir di mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan 48 individu termasuk peneroka FELDA Keratong, Rompin, mendakwa kerugian kira-kira RM300,000 apabila ditipu seorang wanita dikenali sebagai 'Kak Ton' yang menawarkan pakej umrah.
Mangsa yang kecewa kerana gagal ke Tanah Suci pada tarikh dijanjikan iaitu awal Disember lalu membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin.
Difahamkan, Zaiton adalah wakil syarikat berpangkalan di Kamunting, Perak dan syarikat itu pula bekerjasama dengan beberapa agensi umrah lain untuk menghantar individu mengerjakan umrah.
Zaiton ditahan selepas hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan jam 11.35 pagi semalam.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment