Program KJK satukan 100 kakitangan JaPen bantu golongan memerlukan

Monday, January 29, 2018

Program KJK satukan 100 kakitangan JaPen bantu golongan memerlukan

Program KJK satukan 100 kakitangan JaPen bantu golongan memerlukan

LANGKAWI: Bekas anggota tentera yang kini lumpuh tidak dapat menahan sebak ketika rumahnya di Kampung Pasir Hitam, Mukim Ayer Hangat di sini, dibaiki secara bergotong-royong sempena Program Kembara Jalinan Kasih (KJK) Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), kelmarin.

Program yang disertai 100 kakitangan JaPen yang menyusuri akar umbi dan ziarah kasih itu diketuai Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Zinol Long, 67, yang lumpuh kira-kira setahun lalu akibat dihempap pokok ketika menunggang motosikal untuk membeli santan kelapa di pasar awam mengaku terkedu selepas rumahnya dihadiri ramai tetamu.

"Syukur kepada Allah kerana mereka beramai-ramai membaiki atap bahagian dapur rumah saya yang bocor setiap kali hujan lebat, selain mengecat luar dan dalam, membersihkan semak serta menukar bingkai tingkap.

"Sejak lumpuh memang saya tak boleh bergerak bebas kecuali dibantu isteri, Che Olah Mubin, 70, atau anak-anak," katanya ditemui di pekarangan rumahnya di sini.

Zinol berkata, selepas kemalangan dihempap pokok pada Februari tahun lalu, beliau terlantar lebih sebulan untuk menerima rawatan di beberapa hospital termasuk di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak dan Hospital Langkawi.

Terdahulu, perasaan syukur turut dikongsi pasangan Zainol Edon 47, dan isterinya, Azlina Md Isa, 49, dari Kampung Bubur, Mukim Kedawang selepas turut dipilih menerima sumbangan membaiki rumah disampaikan Ibrahim.

Ketika ditemui, Azlina yang juga kakitangan sebuah pasar raya di sini, berkata bantuan diberikan membuktikan kerajaan prihatin dengan penduduk yang kesusahan.

"Sebelum ini, jika hujan lebat tengah malam, kami perlu bangun ambil bekas untuk tadah air supaya tidak melimpah ke seluruh rumah akibat bumbung bocor yang tidak dapat dibaiki kerana tidak mampu.

"Menerusi bantuan diberikan JaPen ini, rumah kami tidak bocor lagi dan memberi keselesaan kepada saya serta suami dan tiga anak tinggal termasuk dua yang masih bersekolah untuk tinggal di sini," katanya.

Konvoi KJK itu turut melakukan ziarah kasih ke kediaman bekas kakitangan JaPen Daerah Langkawi, Mansor Hasan, 64, di Kampung Kelibang, Mukim Kuah di sini, yang menghidap penyakit buah pinggang bagi menyampaikan bantuan barangan keperluan harian.

Sementara itu, pada sidang medianya, Ibrahim berkata, KJK yang disertai 100 peserta termasuk Pengarah Penerangan Negeri seluruh negara dan sukarelawan Komuniti 1Malaysia itu bertujuan mendekati masyarakat, selain mengeratkan silaturahim.

"Ini membuktikan agensi kerajaan amat prihatin dengan penduduk ditimpa musibah dan kehadiran kakitangan JaPen untuk bergotong-royong membaiki rumah serta ziarah kasih penduduk diyakini mampu menceriakan golongan memerlukan.

"Program sebegini akan diteruskan termasuk menerusi konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan pelbagai jabatan dalam usaha memastikan tiada rakyat tersisih dan tertinggal daripada menikmati bantuan kerajaan," katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JaPen, Datuk Almain Ajirul.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment