Tahun Baharu Cina cara Islamisasi kita

Tuesday, January 30, 2018

Tahun Baharu Cina cara Islamisasi kita

Tahun Baharu Cina cara Islamisasi kita

TAHUN Baharu Cina  di Malaysia disambut dengan meriah bukan sahaja oleh masyarakat Cina, tetapi juga oleh masyarakat lain. Bahkan ia adalah peristiwa negara dengan cuti umum sekali serta ‘rumah terbuka’ peringkat negara juga diadakan untuk meraikannya.

Lebih istimewa ialah ia disambut bersama oleh pemimpin Islam negara ini, daripada perdana menteri dan ahli Kabinet kepada menteri besar dan exco negeri.

Namun, pada tahun lepas sebuah masjid di Bangsar, Kuala Lumpur, iaitu Masjid Sayidina Abu Bakar, mengadakan ‘rumah terbuka’ Tahun Baharu Cina sebagai meraikan harmoni dan muhibah sesama rakyat negara ini.

Ini merupakan satu perkem-bangan menarik kerana sebuah peristiwa besar suatu kaum yang majoritinya bukan beragama Islam diberi penghormatan oleh sebuah masjid.

Masjid adalah lambang utama agama Islam dan untuk sebuah masjid menganjurkan Tahun Baharu Cina ini tentunya menunjukkan bahawa Islam adalah satu agama dan tamadun yang boleh menyerikan budaya hidup lain selagi ia selari dengan akidah dan syariat Islam.

Sungguhpun begitu, meraikan Tahun Baharu Cina di masjid semestinya mengikut adab Islam itu sendiri.

Masjid Sayidina Abu Bakar sekadar mengadakan jamuan di dewan masjid berkenaan dengan jemputan kepada penduduk di sekitar masjid dan walaupun yang dijangka hadir cuma sekitar seratus orang, tetapi yang datang dikatakan lebih kurang empat ratus orang. Di samping jamuan, oren Mandarin turut diberi kepada hadirin.

Mungkin pada masa-masa akan datang, Masjid Sayidina Abu Bakar boleh menjemput mereka yang menghuni rumah orang tua, ibu tunggal, anak-anak yatim, serta orang kelainan upaya untuk turut bersama dalam keraian ini.

Tahun Baharu Cina kurang serinya tanpa ‘ang pau’ atau sampul merah yang mengandungi wang ringgit yang kebiasaannya diberikan kepada anak-anak dan mereka yang belum berumah tangga.

Akan bertambah keriangan dan kegembiraan masjid jika 'ang pau’ turut diberikan kepada golongan penghuni rumah orang tua, ibu tunggal, anak-anak yatim serta mereka yang kelainan upaya. Walaupun jumlahnya tidak berapa, tentunya golongan ini akan tersentuh jiwa mereka dengan pemberian kecil ini kerana ia menunjukkan bahawa masih ada insan di luar sana yang turut bersimpati dengan keadaan hidup mereka.

Sesungguhnya ‘ang pau’ ini turut menjadi amalan masyarakat Islam negara ini, hari ini apabila ‘ching pau’ atau sampul hijau berserta wang diberikan kepada anak-anak kecil semasa Hari Raya Puasa.

Suatu amalan yang baik walaupun ia datang daripada budaya lain boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan Islam. Lebih-lebih lagi apabila amalan tersebut boleh meningkatkan nilai keinsanan serta merapatkan hubungan sesama manusia.

Di sudut lain, masyarakat Cina Muslim tentunya lega bahawasanya menjadi seorang Islam bukan sahaja mengekalkan mereka dalam budaya Cina mereka tetapi kecinaan yang bercirikan Islam ini membolehkan mereka bergerak dari jiwa yang bersifat qawmiyyah kepada jiwa yang bersifat ummah dan sejagat. Tahun Baharu Cina boleh menunjukkan bagaimana sebuah perayaan kaum tertentu boleh pada masa yang sama menjadi sebuah perayaan Islam.

Hari ini, Islamisasi sering kali difahami sebagai usaha untuk menidakkan, menyekat serta menghapuskan kepercayaan serta amalan budaya lain.

Memahami Islamisasi sedemikian hanya boleh datang daripada jiwa yang senantiasa diselubungi ketidakyakinan bahawa Islam boleh menjana kekuatan jiwa dalam persekitaran yang penuh dengan kepelbagaian dan perbezaan.

Profesor Osman Bakar, penggerak dialog antara tamadun semasa beliau menjadi timbalan naib canselor di Universiti Malaya satu ketika dahulu pernah berkata bahawa Islamisasi mempunyai dua pengertian.

Yang satu ialah yang menumpu kepada umat Islam sendiri. Yang satu lagi ialah melihat bagaimana Islam juga merangkumi tamadun lain di mana falsafah, nilai serta budaya hidup mereka yang bertepatan dengan pandangan hidup Islam boleh menjadi sebahagian daripada tamadun Islam sendiri.

Tahun Baharu Cina adalah satu contoh untuk menunjukkan pengertian Islamisasi yang kedua ini. Justeru, jadikanlah Tahun Baharu Cina dan usaha Masjid Sayidina Abu Bakar contoh Islamisasi cara kita di negara ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment