Lemas di taman tema air

Wednesday, January 31, 2018

Lemas di taman tema air

Lemas di taman tema air

SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lemas ketika mandi bersama ahli keluarga di sebuah taman tema air di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Hafidh Dhabit Hasrul Nizal, dari Kampung Meribut, Kodiang, dekat sini mandi bersama keluarga sempena hari keluarga sebuah agensi awam di taman tema air berkenaan.

Ayah mangsa, Hasrul Nizal Che Hassan, 35, berkata ketika kejadian dia sedang mendaftar ahli keluarga yang baru datang sebelum dimaklumkan anaknya hilang dalam kolam.

Katanya, dia bersama rakannya yang memaklumkan perkara itu bergegas mencari Hafidh Dhabit sebelum menemuinya 10 minit kemudian.

"Hafidh Dhabit ditemui di dasar kolam dan kami segera mengeluarkannya dan memberi bantuan pernafasan kecemasan.

"Selepas itu, kami segera membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk mendapatkan rawatan kecemasan tetapi disahkan meninggal dunia oleh doktor," katanya.

Tinjauan BH mendapati, suasana di Jabatan Forensik HSAH diselubungi rasa pilu apabila ibu mangsa berusia 30 tahun pengsan beberapa kali kerana terlalu sedih ketika dibawa melihat jenazah anak bongsunya buat kali terakhir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 1.55 tengah hari yang mana mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HSAH.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment