PM tunggu ilham bubar Parlimen

Tuesday, January 30, 2018

PM tunggu ilham bubar Parlimen

PM tunggu ilham bubar Parlimen

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau masih menunggu 'ilham' untuk mencari tarikh sesuai pembubaran Parlimen.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, perkara itu tidak menjadi masalah selagi tarikh itu diputuskan sebelum Jun atau parlimen akan terbubar secara automatik pada bulan yang sama.

Katanya, beliau akan memilih tarikh yang sesuai dan melihat perkembangan semasa dalam negara sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 diadakan.

"Apa yang saya tunggu, saya tidak tahu, ...saya menunggu cetusan atau apa yang orang Melayu panggil ilham, untuk memikirkan tarikh yang sesuai untuk kami (mengadakan pilihan raya).

"Kita tunggu sama ada Jun atau lebih awal, kita tunggu bagaimana perkembangannya," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Najib ditanya pemberita bilakah beliau akan membubarkan Parlimen selepas Perdana Menteri membentangkan keadaan ekonomi semasa yang baik dengan persiapan jentera parti yang lancar untuk berdepan PRU-14.

Terdahulu, Najib berkata beliau berpuas hati dengan laporan Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan laporan ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri mengenai persiapan jentera parti.

"Tahap kesiapsiagaan UMNO tinggi. Mudah-mudahan akan berterusan hingga Parlimen bubar nanti," katanya.

Najib berkata, mesyuarat MT kali ini juga dimaklumkan mengenai suasana ekonomi negara yang makin baik dengan ringgit mengukuh, kadar pertumbuhan tinggi, peningkatan bursa saham, kadar inflasi rendah dan pengangguran rendah sekitar empat peratus.

"Ini menunjukkan apa dijalankan kerajaan membuahkan hasil menggalakkan. Ini wujudkan suasana kondusif untuk perniagaan dan pengguna," kata Perdana Menteri.

Najib berkata keadaan itu amat berbeza dengan pembangkang yang mempunyai banyak masalah dan tidak mampu melakukan agenda transformasi untuk negara.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment