Lebih 1,000 orang hadir saksikan gerhana bulan
KUALA NERUS - Lebih 1,000 pengunjung membanjiri kawasan Pantai Tok Jembal, di sini, malam tadi, bagi melihat gerhana bulan penuh yang jarang-jarang dapat disaksikan itu.
Fenomena yang berlaku kira-kira satu jam itu mula kelihatan antara jam 8.51 hingga 10.10 malam dengan jarak kedudukan bulan berada kira-kira 360,000 kilometer daripada bumi.
Bersempena dengan itu juga, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) melalui Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri) dengan kerjasama Uptown Kontena Dapo Pata, Tok Jembal tampil mengadakan Program Cerapan Gerhana Bulan Penuh.
Pengunjung turut diberi peluang melihat fenomena itu melalui enam teleskop yang disediakan, sekaligus memberi pendedahan tentang fenomena sains kepada masyarakat.
Pensyarah Eseri, Dr. Roslan Umar berkata, program yang julung kali diadakan di khalayak ramai itu bertujuan untuk memberi gambaran lebih jelas serta menggalakkan minat sains dalam kalangan masyarakat.
"Istimewanya juga kali ini kita pilih untuk adakan cerapan gerhana bulan penuh di tepi pantai yang sememangnya sering menjadi tumpuan ramai ini.
"Kawasan pantai yang berada pada kedudukan 30 darjah juga turut membolehkan fenomena itu dapat dilihat dengan lebih jelas.
"Pada malam ini kita dapat lihat gerhana bulan penuh berwarna merah dalam tempoh dua hingga tiga minit sahaja walaupun keadaan cuaca baik berikutan ditutupi awan tebal,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di Uptown Kontena Dapo Pata, Tok Jembal, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Pembangunan) Unisza, Prof Dr. Ir. R Badlishah Ahmad.
Menurut Roslan lagi, selain malam tadi, fenomena sama juga dijangka berlaku pada 31 Julai ini.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment