SFC rampas balak
DEBAK: Sejumlah balak dan kayu bergergaji yang bernilai RM291,500 dirampas dalam serbuan di kem pembalakan haram di Ulu Dit, di sini, semalam.
Rampasan itu dibuat sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang melaksanakan pemeriksaan bersama dalam Ops Landai.
Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, berkata turut dirampas dalam serbuan pada jam 2.15 petang itu, dua jentera berat yang digunakan dalam pembalakan itu.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk balak dan jentera berat itu dianggarkan RM791,500.
"Ketika sepasukan lima anggota PPM Wilayah 5 dari Sarikei dan empat penguat kuasa SFC dari Sibu membuat pemeriksaan mengejut di kem pembalakan dipercayai beroperasi secara haram itu, terdapat dua pekerja tempatan sedang menjalankan tugas.
"Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 308 kayu balak pelbagai jenis serta saiz dan 252 batang kayu bergergaji disusun di tempat pengumpulan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Salehuddin berkata, semua balak dan kayu bergergaji itu didapati tidak memiliki tanda hak milik serta dokumen Jabatan Hutan Sarawak (JHS).
"Semua rampasan termasuk dua pekerja itu kemudiannya diserahkan kepada JHS Sri Aman untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 2015," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment