MPP tidak kompromi struktur tambahan haram

Monday, January 29, 2018

MPP tidak kompromi struktur tambahan haram

MPP tidak kompromi struktur tambahan haram

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) sedang menimbang mengambil tindakan mahkamah terhadap pemilik hartanah enggan merobohkan struktur tambahan tidak dibenarkan yang dibina bagi memperluas kediaman atau premis perniagaan masing-masing.

Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang, berkata pihaknya sudah mengeluarkan notis amaran bertulis kepada pemilik hartanah untuk merobohkan mana-mana struktur tambahan dibina secara haram, namun tindakan itu didapati tidak berkesan.

"Kita mendapati banyak hartanah di kawasan komersial mahupun perumahan sudah dinaik taraf untuk tambahan ruang tanpa kebenaran, dengan pihak pemilik sudahpun diberi peringatan secara lisan tetapi masih enggan merobohkannya.

"Justeru, kita menasihati pihak terbabit supaya mematuhi notis diberikan kerana jika tidak, mereka akan menghadapi tindakan undang-undang," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Menurut Khere Chiang, sebanyak 121 hartanah di kawasan komersial dan perumahan dalam kawasan seliaan MPP didapati melakukan kesalahan itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang berkata, kebanyakan penambahan struktur binaan itu dilakukan untuk tujuan membuat bengkel dan restoran.

"Ini tidak wajar kerana selain dilakukan secara haram tanpa kebenaran MPP, ia juga boleh membawa risiko kepada kehidupan dan kesihatan awam, di samping risiko keselamatan.

"Justeru, pemilik hartanah terbabit boleh didenda bawah Undang-Undang Kecil, Pihak Berkuasa Tempatan, iaitu antara RM100 hingga RM2,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment