ECERDC sedia 6,100 peluang pekerjaan
PASIR PUTEH - Pelabur Bumiputera menyumbang RM5.03 bilion atau lebih 42 peratus daripada RM11.8 bilion jumlah pelaburan di Kelantan dari 2007 hingga tahun lalu.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sumbangan besar terhadap prestasi ekonomi itu menjana lebih 6,100 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
Menurutnya, ia menggambarkan keberkesanan usaha menyeluruh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam menjadikan Bumiputera sebagai penyumbang utama pembangunan ekonomi Kelantan.
âPembangunan berimpak tinggi yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri ini melahirkan lebih ramai usahawan serta menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
âProjek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan stesen terbesar yang terletak di Tok Bali untuk mengendalikan penumpang dan kargo bakal menggalakkan pertumbuhan ekonomi berasaskan transit,â katanya.
Menurutnya, Empower ECER memberi manfaat kepada 15,600 rakyat di negeri ini termasuk 11,800 pelajar, 1,100 peserta Orang Asli bagi program Latihan Akademik sementara Latihan Kemahiran dan Keusahawanan memberi manfaat kepada 3,800 peserta di mana 60 peratus daripada mereka berjaya memulakan perniagaan sendiri.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Empower ECER di Dewan Uthamniyah, Pulau Lima yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John, Adun Semerak, Datuk Zawawi Othman dan Adun Selising, Zulkifle Ali, baru-baru ini.
Antara usahawan yang diraikan pada majlis tersebut adalah Pengasas ZS Maju Product, Zainon Salleh yang menerima Anugerah Khas Usahawan Bertransformasi (Halal) Entrepreneur dan Azmi Hussein daripada Highplus Engineeering Sdn Bhd untuk memberi latihan kemahiran kepada graduan menerusi Program Pemerkasaan Graduan ECER (ETEP).
Sementara itu, Jebasingam Issace berkata, antara projek pemangkin yang akan meningkatkan pelaburan di Kelantan adalah pembangunan Pelabuhan Tok Bali kerana lokasinya yang sangat strategik.
Katanya, pelabuhan itu dikenali sebagai Hab Pengedaran Serantau bagi pengedaran barangan untuk perdagangan rentas sempadan dengan selatan Thailand dan Indochina.
âTaman Perikanan Bersepadu Tok Bali bakal menjadikan kawasan itu sebagai hab perikanan utama bagi produk makanan berasakan ikan, otoshimi dan mil ikan selain industri sokongan lain.
âProjek Taman Perindustrian Tok Bali yang bermula tahun ini mampu menampung keperluan usahawan tempatan yang kian meningkat, ia juga akan menggalakkan pertumbuhan pelaburan swasta khususnya dalam sektor pembuatan, perniagaan tani serta minyak dan gas,â katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment