Rampas balak RM50,000 di Hutan Simpan Temelong

Tuesday, January 30, 2018

Rampas balak RM50,000 di Hutan Simpan Temelong

Rampas balak RM50,000 di Hutan Simpan Temelong

TEMERLOH: Tindakan pantas 20 anggota Unit Penguat Kuasa Pejabat Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran berjaya memintas kegiatan memindahkan 22 kayu balak bernilai lebih RM50,000 secara haram dari kawasan Hutan Simpan Temelong, Maran, malam tadi.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran, Ismail Ali Kamaruddin, berkata dalam operasi bermula jam 9 malam itu, pihaknya menahan seorang pemandu lori berusia 50-an dan turut merampas jengkaut, lori, kenderaan pacuan empat roda dan mesin memotong kayu bergergaji.

Beliau berkata, jenis kayu yang cuba dibawa keluar menggunakan laluan tikus di Kampung Luit, Maran ialah seraya, kempas dan meranti seraya.

Katanya, sindiket terbabit dipercayai berpengalaman melakukan aktiviti menebang dan memindahkan kayu balak serta memiliki peralatan lengkap bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

"Musim tengkujuh digunakan sindiket mencuri kayu balak untuk melakukan aktiviti menebang pokok. Aktiviti memindah balak menggunakan lori pula akan dilakukan selepas berakhirnya musim itu dan dijalankan pada waktu malam," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kayu balak dan jentera yang dirampas kini disita di pusat penyimpanan barangan kes di Pejabat Hutan Ladang Kemasul di sini.

Ismail berkata, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan dan pemeriksaan bagi menangani kegiatan mencuri hasil hutan yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan, selain merosakkan alam sekitar apabila aktiviti penebangan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

"Justeru, saya meminta kerjasama erat masyarakat setempat, termasuk Orang Asli, melaporkan segera kegiatan mencuri balak di kawasan masing-masing.

"Selain itu, kita akan mempergiatkan aktiviti rondaan di kawasan panas, selain melakukan sekatan jalan raya dan intipan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment