Laporte sah milik City, Aubameyang tiba di Arsenal

Wednesday, January 31, 2018

Laporte sah milik City, Aubameyang tiba di Arsenal

Laporte sah milik City, Aubameyang tiba di Arsenal

LONDON: Manchester City menyempurnakan perpindahan Aymeric Laporte awal pagi tadi sementara Pierre-Emerick Aubameyang dilaporkan tiba di padang latihan Arsenal bagi melengkapkan perpindahannya dari Borussia Dortmund sebelum jendela perpindahan berakhir hari ini.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, City dilaporkan membayar 57 juta pound (RM314.48 juta) - rekod tertinggi kelab - bagi pertahanan Athletic Bilbao, Laporte, mengatasi nilai 55 juta pound (RM303.47 juta) yang dibayar untuk Kevin De Bruyne pada tahun 2015.

Pemain 23 tahun itu juga muncul sebagai pertahanan kedua termahal dalam sejarah di belakang Virgil van Dijk, yang memaksa Liverpool berbelanja 75 juta pound (RM413.85 juta) untuk mendapatkannya dari Southampton awal bulan ini.


CITY dilaporkan membayar RM314.48 juta bagi mendapatkan Aymeric Laporte mengatasi nilai yang dibayar untuk Kevin De Bruyne pada tahun 2015. - Foto ManCity

Minggu lalu Alexis Sanchez menyertai Manchester United dari Arsenal sebagai pertukaran untuk Henrikh Mkhitaryan dan dengan masa semakin suntuk, pengendali Arsenal, Arsene Wenger dilihat akan menandatangani Aubameyang bagi menguatkan jentera serangannya.

"Saya amat gembira berada di sini," kata Laporte dalam satu kenyataan di laman web Manchester City.

"City adalah kelab yang berwawasan dan mereka salah sebuah pasukan terbaik di Eropah.

"Saya tidak sabar untuk bekerja di bawah Pep Guardiola dan cuba membantu kelab mencapai kejayaan."


AYMERIC Laporte (tiga dari kiri) mula jalani latihan rasmi bersama City. - Foto ManCity

Guardiola berkata Laporte sedia untuk diturunkan tetapi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris.

"Dia cergas dan sering beraksi sebelum ini," kata Guardiola.

"Sudah tentu dia perlu menyesuaikan diri kerana Liga Perdana amat istimewa dari pelbagai sudut.

"Dia pintar, pantas membaca situasi. Malah untuk pemain Inggeris, apabila berdepan situasi dalam Liga Perdana, ia sukar buat mereka. Kami tidak akan terburu-buru kerana dia bukan datang untuk tiga bulan, tetapi lima tahun."

Guardiola kini sudah membelanjakan lebih 200 juta pound (RM1.1 bilion) untuk memperkuatkan bentengnya, membawa masuk Laporte selepas Benjamin Mendy (52 juta pound - RM286.9 juta), John Stones (47.5 juta pound - RM262.1 juta) dan Kyle Walker (45 juta pound - RM248.3 juta). - AFP



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment