Yayasan Peneraju rai penerima biasiswa

Monday, January 29, 2018

Yayasan Peneraju rai penerima biasiswa

Yayasan Peneraju rai penerima biasiswa

KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menerusi kerjasama dengan Metropolitan Corridor meraikan pencapaian graduannya pada Anugerah The Rising Star 2018 (TRUST '18), yang mana ia adalah peristiwa penting kepada kedua-dua organisasi terbabit.

Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Raja Azura Raja Mahayuddin, berkata Yayasan Peneraju mempunyai lebih 1,000 pelajar yang menerima biasiswa untuk program Peneraju Tunas Potensi sejak penubuhan agensi itu pada 2012.

Katanya, ketika ini, bagi tahun ketujuh Yayasan Peneraju beroperasi, lebih dari 270 penerima biasiswa program berkenaan telah berjaya menamatkan program itu di mana kebanyakan mereka kini berjaya mendapatkan tempat di syarikat dan organisasi terkemuka di seluruh negara.

"Saya bangga mengatakan bahawa kita telah melihat peningkatan yang luar biasa setiap tahun dalam kualiti keputusan graduan secara bersama. Mengukur mereka dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) di atas 3.00, kita melihat lonjakan dari 78 peratus pada 2016 kepada 81 peratus pada tahun 2017.

"Sebagai sebuah organisasi yang meletakkan penambahbaikan berterusan sebagai salah satu penekanan utama kami, kami berharap untuk terus meningkatkan prestasi cemerlang ini dan kami akan berusaha untuk menghasilkan lebih banyak tenaga kerja yang berkompetitf untuk mengisi keperluan negara.

"Apa yang menakjubkan adalah salah satu daripada penerima anugerah (Anugerah Inspirasi) iaitu Harziah Khalid Yunus, graduan berusia 26 tahun yang cacat penglihatan. Beliau lulus cemerlang dengan pencapaian Kepujian Kelas Pertama dalam Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia.

"Beliau memperoleh PNGK 3.70 dan menyelesaikan pengajiannya setahun lebih awal daripada jadual asal pada bulan Julai. Pencapaian Harziah seharusnya menjadi inspirasi kepada semua orang," katanya.

Raja Azura berkata, Metropolitan Corridor berfungsi untuk membantu pelajar yang berhak mendapat akses kepada pelbagai program biasiswa supaya mereka dapat memenuhi impian untuk mengikuti pendidikan tinggi di universiti.

Katanya, TRUST '18 diadakan bukan hanya untuk meraikan pencapaian akademik pemegang biasiswa Yayasan Peneraju, namun berperanan penting sebagai pemangkin bagi mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Beliau berkata, ini adalah berdasarkan kepada bahagian keduanya iaitu sesi perekrutan yang diselaraskan apabila organisasi terkemuka turut dijemput untuk mengadakan temu duga graduan yang telah disenarai pendek.

Selari dengan tema acara itu - 'Pemimpin Masa Hadapan' - satu forum turut diadakan dengan tiga penceramah dari pelbagai industri. Dengan topik 'Sikap dan Pemikiran dalam Memulakan Kerjaya Anda sebagai Pemimpin', forum tersebut membincangkan keperluan untuk sikap yang betul apabila memacu tangga kerjaya, dan penceramah turut berkongsi pandangan mereka mengenai ketahanan, kepintaran emosi dan penetapan matlamat dalam kerjaya.

Raja Azura turut menggesa graduan untuk terus memperbaiki diri dan boleh diberi tunjuk ajar supaya dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan sentiasa menjadi aset bernilai kepada persekitaran kerja yang pantas berubah.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Metropolitan Corridor, Sandra Ong, berkata tema itu dipilih kerana kesemua pelajar itu dilihat sebagai generasi akan datang yang berpotensi untuk membawa perubahan yang lebih segar dan perspektif baru kepada negara.

"Mereka datang dari pelbagai latar belakang yang mencabar, mendaftar masuk ke program Peneraju Tunas Potensi dengan satu impian besar, iaitu untuk mengubah hidup mereka.

"Tema hari ini menonjolkan potensi dan keupayaan mereka untuk menggapai cita-cita dan membawa perubahan bukan sahaja pada kehidupan mereka, tetapi kehidupan orang lain, seperti keluarga mereka.

"Dari perspektif saya, prasyarat sebagai pemimpin masa depan adalah untuk mempunyai kesediaan untuk belajar dan mengambil inisiatif untuk memimpin. Kita semua bermula dari suatu tempat, jadi mengapa tidak membuat pengalaman yang paling banyak dengan mempelajari segala yang anda boleh," katanya.

Sehingga kini, Yayasan Peneraju telah berjaya melahirkan 20,060 graduan Bumiputera sejak ia mula beroperasi pada 2012 di bawah tiga program terasnya iaitu 'Peneraju Tunas', 'Peneraju Skil' dan 'Peneraju Profesional'.

Yayasan Peneraju diberi mandat untuk membangun dan memupuk 40,000 bakat Bumiputera menjelang 2020.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment