Tujuh penagih ditahan positif dadah
MARANG - Tujuh penagih dadah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di premis bangunan kilang terbiar dalam operasi bermula 5 pagi hingga 1 tengahari di Pulau Kerengga di sini.
Ketua Pegawai AADK Marang, Wan Zulkafli Wan Ahmad berkata, jumlah keseluruhan individu ditahan adalah seramai sembilan orang namun hanya tujuh daripada mereka yang didapati positif dadah.
"Mereka yang positif dadah itu berusia antara 30 hingga 46 tahun dan ditahan sempena Ops Sarang ketika memasuki lokasi berkenaan yang dikategorikan sebagai 'port panas' sarang penagihan dadah.
"Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 39(C) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.
Ops Sarang dijalankan dengan kerjasama AADK Marang dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang itu adalah satu usaha berterusan membanteras dadah di daerah ini.
Wan Zulkafli berkata, AADK Marang dengan kerjasama semua pihak juga akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagih dadah berlaku di Marang.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menghubungi AADK Marang di talian 09-6181446 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment