KPDNKK periksa 4,011 premis

Wednesday, January 31, 2018

KPDNKK periksa 4,011 premis

KPDNKK periksa 4,011 premis

GENTING HIGHLANDS - Pelbagai barangan bernilai lebih RM29,442 berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang melibatkan 4,011 premis di tujuh daerah di negeri ini dalam tempoh 30 hari pertama tahun ini.

Pengarah KPDNKK negeri, Datuk Mark Ujin berkata, nilai rampasan itu adalah daripada 103 kes yang berjaya dikesan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah perihal dagangan termasuk Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Bermula 1 Januari lalu, kita sudah melakukan operasi di enam daerah di negeri ini iaitu Rompin, Raub, Bera, Jerantut, Pekan dan Temerloh. Didapati masih ramai peniaga yang melakukan pelbagai kesalahan terutama di bawah Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011.

“Sehubungan itu, kita akan mempergiatkan operasi ini dari masa ke semasa bagi memastikan kesemua peniaga mematuhi segala akta ditetapkan untuk melindungi kepentingan pengguna,” katanya selepas mengetuai Ops Bersepadu KPDNKK Negeri Pahang di Genting Highlands Premium Outlets  (GPO) di Genting Highlands di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mark berkata, sebanyak 192 premis di Genting Higlands telah diperiksa sepasukan anggota penguat kuasa KPDNKK sejak kelmarin dan mendapati sebanyak lapan premis telah melakukan kesalahan.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati kerana tiada kesalahan di kesan di GPO ketika pemeriksaan dijalankan di pasar raya terkemuka itu.

“Kesalahan ini disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011  boleh dikenakan denda RM100,000 sehingga RM200,000 tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Didapati kesemua peniaga mempamerkan tanda harga pada setiap barangan yang dijual dan mendapati bekalan adalah mencukupi dan tiada kesalahan dilakukan peniaga di premis yang diperiksa,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai membuat laporan kepada KPDNK sekiranya mereka ditipu dan tidak boleh mengamalkan sikap berdiam diri.

Tambahnya, sikap sebegini perlu dihindarkan kerana perkara ini memberi peluang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk terus mengaut keuntungan dan seterusnya merugikan para pengguna.

“Pengguna sepatutnya melaporkan terus perkara itu kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil. Kita juga mengalu-alukan maklumat atau aduan daripada orang ramai bagi kita mengambil tindakan drastik kepada peniaga yang ingkar dan gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

“Jika ada laporan rasmi dibuat kami selesaikan masalah itu dengan cepat dengan adanya maklumat serta bukti yang tepat berbanding memuat naik perkara itu di laman sosial,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment