Tragedi ragut enam nyawa calar imej

Monday, November 27, 2017

Tragedi ragut enam nyawa calar imej

Tragedi ragut enam nyawa calar imej

PAHANG memang terkenal dengan kepelbagaian produk pelancongan alam semula jadi sama ada pantainya yang indah, tanah tinggi dan bukit menghijau dengan pelbagai khazanah alam berharga.

Bukan sekadar flora dan fauna, namun tidak kurang anak-anak sungai, air-air terjun, gua-gua dan bentuk muka bumi semula jadi yang cukup mempesonakan.

Di antaranya memang sudah cukup popular dan tidak kurang yang masih terpelihara ‘rahsianya’.

Selain keindahan yang menjadi daya penarik kepada kunjungan pengunjung, dunia di sebalik bukit-bukau ini pasti tersingkap seribu macam kisah misterinya malah tidak kurang ‘unsur-unsur mistik’ dikaitkan dengan kejadian atau tragedi yang pernah berlaku di sesebuah lokasi itu.Biar apa pun bentuk risikonya, bagi mereka yang sukakan cabaran, lokasi-lokasi ini tetap menjadi pilihan mereka.

Ikuti kupasan empat lokasi menarik namun tersingkap 1000 rahsia dan bahayanya yang ada di Temerloh, Bera, Rompin dan Maran yang disediakan Skuad Temerloh, M Feisal Norawi; Skuad Maran, Nor Khalilah Gusti Hassan; Skuad Rompin, Muhayudin Salleh dan Skuad Bera, Azizah Shafie.

Pemandangan indah Hutan Lipur Lubuk Yu cukup mempesonakan apabila persekitarannya masih dikelilingi suasana hutan menghijau dengan air jernih dan sejuk.  

Selain popular menjadi tempat riadah hujung minggu, lokasi ini turut  terkenal dalam kalangan kaki pancing yang memburu baung, sebarau dan kelah.

Lubuknya luas dan besar serta agak dalam  berbanding lokasi peranginan lain di daerah Maran.

Nama Hutan Lipur Lubuk Yu sebelum ini cukup popular bukan sahaja di kalangan penduduk luar daerah itu, bahkan pengunjung luar Pahang.

Biarpun terdapat  kawasan rekreasi lain yang terkenal dalam kawasan Kuala Sentul seperti  Hutan Lipur Teladas serta Lubuk Ujid atau Taman Rekreasi Che Minah Sayang, Hutan Lipur Lubuk Yu tetap ada tarikan tersendiri.

Menurut penduduk, nama  Hutan Lipur Lubuk Yu agak unik bersempena air terjunnya yang berbentuk huruf U.

Ramai takut berkunjung

Bagaimanapun, Hutan Lipur Lubuk Yu pernah digemparkan dengan tragedi enam kematian serentak melibatkan pegawai dan lima anggota penyelamat yang menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas pada Jun 2010 sehingga menjadikan kegemilangannya terhenti seketika.

Selepas kejadian yang agak misteri itu, Lubuk Yu ditutup dan semenjak itu timbul pelbagai cerita-cerita yang dikaitkan dengan unsur-unsur mistik namun sehingga kini tidak dapat disahkan kesahihannya.

Bagi seorang penduduk, Syamil Kurdi, 32, dari Felda Ulu Jempol di sini yang berniaga air di Lubuk Yu lebih setahun lalu berkata, tragedi tidak terduga pada 2010  banyak  menjejaskan imej lokasi riadah itu  sehingga ada yang takut dan gerun  untuk berkunjung.

Katanya, ada yang mendakwa kawasan itu  berhantu dan menyeramkan namun dari sudut lain,  tragedi itu juga yang membuatkan orang-orang luar tahu tentang hutan lipur tersebut.

“Difahamkan misteri kematian enam anggota penyelamat itu bermula apabila mereka terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang lemas di kawasan itu pada Jun 2010.

“Ada yang dakwa kejadian disebabkan penyakit kencing tikus, tapi wabak tu belum diketahui umum masa tu. Jadi ramai yang kaitan dengan unsur mistik," katanya.

Syamil berkata, memang sukar untuk diterima apabila usaha menyelamatkan mangsa lemas berakhir dengan kematian pasukan penyelamat secara misteri.

“Namun segala misteri yang menyelubungi pusat rekreasi ini berakhir apabila ia dibuka kembali kepada pengunjung malah ia menjadi antara destinasi popular kebelakangan ini.

“Saya dan kawan-kawan selalu memancing di sini. Kadangkala  masuk sampai jauh ke dalam hutan namun tidak pernah berdepan kejadian-kejadian aneh.

"Alhamdulillah tak ada apa-apa yang mistik. Cuma jangan cakap besar dan pelihara alam sekitar sebagai tanda kita hormat makhluk lain yang menghuni sama alam ini dengan kita,” katanya.

Lembaga perempuan berambut panjang

Sementara itu, kakitangan Felda Ulu Jempol, Mohd Khazwan Shamin, 23, berkata, berikutan kematian mengejut itu, pelbagai andaian timbul hingga kepada perkara yang di luar kemampuan akal.

“Bahkan ketika operasi menyelamat dikatakan terpaksa guna khidmat pengamal perubatan tradisional.

Ada juga yang kata salah seorang anggota penyelamat tu pernah nampak lembaga perempuan berambut panjang di Lubuk Yu sebelum dia juga jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital,” katanya.

Katanya, ada yang mempercayai bahawa kematian tersebut berpunca daripada kawasan rekreasi itu yang dikatakan keras atau berpenunggu.

“Keenam-enam lelaki terbabit dikatakan mengganggu kawasan sehingga menyebabkan kemarahan penunggunya padahal mereka sedang mencari mayat mangsa lemas.

“Malah kononnya ada cerita bahawa penduduk melihat entiti berambut panjang muncul di lubuk tersebut,” katanya.

Menurutnya, itu hanyalah cerita orang ramai yang pernah melihat dan menyaksikan entiti tersebut namun baginya sendiri, tidak pernah melalui pengalaman sedemikian walaupun dia berniaga air di situ setiap hujung minggu.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment