Pintu empangan dibuka punca banjir
PADANG BESAR: Paras air Empangan Timah Tasoh yang melepasi paras normal menyebabkan pintu empangan terpaksa dibuka dan menyebabkan air naik di Kampung Padang Malau dan Kampung Padang Malau Dalam, di sini, pagi tadi.
Empat pintu dibuka dengan ketinggian 400 milimeter sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa rumah yang terletak berdekatan sungai dinaiki air setinggi 0.3 meter.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Ir Abdul Najib Abdullah, berkata hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan paras air meningkat kepada 29.67 meter.
"Kita terpaksa membuka empat daripada enam pintu empangan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
"Saya memohon maaf kepada penduduk yang terjejas dan kita akan tutup dengan segera selepas paras air berada di paras normal iaitu 29.5 meter," katanya ketika dihubungi.
Tinjauan BH di lokasi kejadian mendapati terdapat penduduk yang belum berpindah berikutan kawasan rumah mereka tidak terjejas teruk.
Seorang penduduk kampung, Nordin Saad, 64, berkata kejadian air naik di dua kampung bersebelahan itu adalah biasa walaupun hujan tidak turun di kawasan berkenaan.
"Pernah cuaca panas di sini, tetapi kerana hujan lebat di kawasan empangan menyebabkan air empangan terpaksa dilepaskan.
"Keadaan kali ini lebih baik jika dibandingkan sebelum ini kerana JPS memaklumkan lebih awal untuk melepaskan air," katanya.
Sementara itu, Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata sehingga jam 1 tengahari ini tiga keluarga sudah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri.
"Tiga keluarga ini membabitkan 10 orang mangsa, di mana rumah dinaiki air setinggi 0.1 meter. Kita jangkakan ada pertambahan mangsa bagaimanapun bergantung pada keadaan semasa," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment