Bantu penduduk tingkat taraf hidup
PUSAT Pembangunan Komuniti dan Keusahawanan (PPKU) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan menjadi platform dalam membantu meningkatkan taraf hidup komuniti setempat.
Naib Canselor UiTM, Professor Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, PPKU ditubuhkan sebagai salah satu platform untuk menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keusahawanan melibatkan komuniti setempat khususnya dalam kalangan penduduk di daerah ini.
âUsaha ini bertepatan dengan hala tuju pelan strategik UiTM cawangan Kelantan, iaitu Leading in Entrepreneurship and Community Engagement di mana universiti ini cuba memberi manfaat sebaik mungkin kepada komuniti setempat dan bakal usahawan melalui program-program dianjurkan.
âAntara program dianjurkan PPKU dalam menjayakan objektif penubuhannya termasuklah Program Inkubator Usahawan Komuniti Jeli (Piuk), Program Memperkasa Pengusaha Restoran Daerah Jeli dan Program Muet stride ahead," katanya dalam ucapan perasmian program PPKU Jeli di sini, kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan Rektor UiTM Kelantan, Tuan Mohd Rosli Tuan Hassan.
Dalam pada itu, Hassan berkata, melalui Piuk, UiTM cawangan Kelantan berjaya mencungkil bakat peserta dalam bidang perusahaan seni kreatif terutama dalam proses membuat batik celup.
Menurutnya, melalui latihan keusahawanan yang tepat dan terperinci, bakat dimiliki peserta boleh dikembangkan lagi sehingga mampu membangunkan ekonomi mereka khususnya serta ekonomi negara secara keseluruhannya.
âProgram memperkasa pengusaha restoran pula merupakan salah satu program yang memfokuskan ke arah melatih peserta melaksanakan aktiviti pemasaran dengan lebih inovatif, kreatif dan kompetitif dalam penyediaan makanan sekali gus menghadapi persaingan sengit dalam pasaran masa kini," katanya.
Beliau berkata, nilai tambah yang ada pada seseorang usahawan sangat penting bagi memastikan mereka mampu tampil berbeza dan lebih istimewa berbanding usahawan lain.
âSaya harap komuniti setempat, usahawan tempatan serta bakal usahawan dapat manfaat daripada program dijalankan dan saya menyambut baik usaha dilakukan ini dan meningkatkan keupayaan perniagaan dalam kalangan komuniti selain mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
âTerima kasih kepada semua pihak yang telah bersama kami menjayakan program ini antaranya, Amanah Ikhtiar Jeli (AIM), Umno Jeli dan Pejabat Pendidikan Daerah Jeli," katanya.
Majlis berkenaan dirasmikan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Zahari Kechik.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment