PRK PD mungkin pertandingan enam penjuru

Friday, September 28, 2018

PRK PD mungkin pertandingan enam penjuru

PRK PD mungkin pertandingan enam penjuru

PORT DICKSON รข€" Perkembangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson menjadi semakin menarik meskipun Umno dan BN tidak meletakkan calon, selepas ramai pihak termasuk yang individu tampil menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi itu.

Dalam masa semakin suntuk iaitu dengan esok adalah hari penamaan calon, setakat ini Pas dan dua individu telah menyatakan hasrat untuk mengambil bahagian di kerusi berkenaan, selain Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesara Tentera Udara Diraja Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar mewakili Pas, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad dan personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong sebagai calon bebas.

Bagaimanapun, Parti Rakyat Malaysia yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding belum diketahui keputusannya manakala bekas senator Datuk Mohd Ezam Mohd Nor yang juga merupakan bekas pegawai Anwar pula belum mengumumkan pendiriannya.

Semalam, Mohd Ezam dipetik sebagai berkata mengakui menerima desakan daripada rakan lama untuk beliau bertanding dalam PRK itu.

Sekiranya semuanya jadi, PRK Parlimen Port Dickson dijangka akan menyaksikan pertembungan enam penjuru.

Bagaimanapun, jumlah calon yang bertanding hanya akan diketahui esok pada hari penamaan calon yang akan bermula pada 9 pagi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi manakala 9 Oktober hari pengundian awal.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding  jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Kerusi Parlimen Port Dickson, yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi Dun iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP,  Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PKR). - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment