Selangor United berhak berpesta awal

Saturday, July 28, 2018

Selangor United berhak berpesta awal

Selangor United berhak berpesta awal

SELANGOR United mempunyai sebab berganda untuk berpesta awal sebelum melengkapkan jadual Kumpulan A Liga FAM 2018 dengan menentang MOF FC di Bangi, hari ini.

Pertamanya, mereka berjaya meraih tiket separuh akhir Piala FAM yang menjadi sasaran dengan menjinakkan Shahzan Muda 1-0 di gelanggang sendiri, Stadium Mini Sungai Besar, minggu lalu.

Keduanya kerana skuad Abdul Talib Sulaiman ini masih mampu mengharungi tentangan pelawat dari Pahang itu dengan hanya bersandarkan 10 pemain setelah penjaga gol, Nuraizat Aziz dikenakan kad merah.

Setiausaha Selangor United, Mohd Nizam Hashim berkata, tiga mata penting itu melayakkan pasukan ke separuh akhir sambil mengumpul 23 mata, satu mata mengatasi pencabar di anak tangga kedua, Angkatan Tentera Malaysia.

“Satu sasaran awal Selangor United sudah tercapai dan kini misi berikutnya ialah mara ke perlawanan akhir sekali gus memastikan satu daripada slot Liga Perdana 2019.

“Sememangnya perit untuk bertahan dengan 10 pemain biarpun mendahului dengan  jaringan sendiri pemain lawan hasil sepakan sudut Mohd Nor Hafizuan Jailani pada minit ke-39 itu,” katanya.

Justeru katanya, Selangor United mahu merehatkan kebanyakan pemain utamanya tetapi bukan bermakna mereka hanya memandang ringan cabaran MOF FC sebagai tuan rumah di Stadium Mini Inspen, Bangi itu.

“Kami perlu biasakan barisan simpanan dengan suasana perlawanan sebenar dan menguji tahap kecergasan mereka sebagai langkah berjaga-jaga seperti kecederaan atau penggantungan tonggak dalam perlawanan berikutnya.

“Namun misi utama perlawanan ini tetap mahu menang. Tiada istilah sudah selesa atau main sambil lewa bagi barisan kedua ini,” katanya.

Liga FAM musim ini menyaksikan Selangor United meraih tujuh kemenangan, dua seri dan dua kalah daripada 11 perlawanan, antaranya setelah mengetepikan lawan lebih berpengalaman seperti Shahzan Muda, Kuching FA, ATM dan MPKB-BRI Ubes.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment