Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak kekal: Wan Azizah

Tuesday, July 31, 2018

Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak kekal: Wan Azizah

Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak kekal: Wan Azizah

KUALA LUMPUR - Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan dakwaan bahawa kerajaan bakal membubarkan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak.

Beliau turut mengesahkan setakat ini tiada perancangan daripada kerajaan untuk melaksanakan perkara itu.

“Mengenai pertayaan ahli Parlimen Pengerang, sama ada mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak akan dibubar, saya nak jelaskan di sini, buat masa sekarang tiada perancangan untuk membubarkan  Mahkamah kanak-kanak yang diperuntukkan di bawah Bahagian 4 Akta kanak-kanak 2001 dan Akta Kesalahan Kanak-kanak 2017,” katanya ketika ucapan penggulungan ke atas Perbahasan Titah Diraja, di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman meminta kerajaan mengesahkan dakwaan bahawa perluasan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di negara ini akan dihentikan.

[ARTIKEL BERKAITAN : Perluasan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak dihentikan?]

Sementara itu, Wan Azizah turut berkata, kerajaan juga sedia mengkaji cadangan yang dikemukan Azalina untuk penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak.

“Mengenai cadangan tersebut, kerajaan sedia mengkaji cadangan tersebut dengan melihat kesesuaiannya di mana ia sebagai satu suruhanjaya bebas baharu atau diletak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam),” katanya.

Minggu lalu, Azalina turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak untuk memainkan peranan sebagai ‘watchdog’ yang bebas dan berkanun dalam memantau isu serta polisi melibatkan kanak-kanak.

“Saya pernah tegaskan beberapa kali sebelum ini dan saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tiada kompromi harus diberikan dalam sebarang bentuk terhadap penganiayaan terhadap kanak-kanak,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment