Keluar masuk parti perkara biasa
MACHANG - Wanita Umno Kelantan yakin parti akan terus utuh dan tidak terjejas dengan tindakan segelintir pemimpin akar umbi keluar parti beramai-ramai.
Ketuanya, Datin Rahimah Mahamad berkata, keluar dan masuk parti adalah perkara biasa, apatah lagi Umno berdepan ujian berat apabila gagal mempertahankan kerajaan yang diterajui sejak 60 tahun pada PRU14 lalu.
[ARTIKEL BERKAITAN: 500 pemimpin akar umbi Umno keluar parti]
Menurutnya, tindakan itu mungkin reaksi awal pihak berkenaan namun percaya sokongan sebahagian besar ahli masih kukuh bersama Umno.
"Kami menerima keputusan itu seadanya dan tidak ada masalah bagi parti kerana kepentingan rakyat adalah agenda utama untuk diperjuangkan.
"Kita terima seadanya. Tidak ada masalah. Keluar dan masuk parti adalah perkara biasa dan pernah berlaku sebelum ini. Kita menghormati keputusan itu, namun apa yang kita bimbangkan adalah perpecahan dalam kalangan Melayu yang mana akan merugikan bangsa kita sendiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Rahimah berkata, agenda Islam dan perpaduan Melayu perlu dijadikan keutamaan bagi mengatasi kepentingan parti masing-masing sekali gus menuntut Umno bekerja lebih kuat serta mempunyai semangat juang tinggi bagi menarik sokongan rakyat dan memenangi PRU akan datang.
Katanya, hanya yang istiqamah dan setia dengan Umno akan melihat keikhlasan perjuangan.
Semalam, seramai 500 pemimpin Umno tempatan di negeri ini termasuk bekas Adun Bukit Tuku, Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta.
Turut sama adalah bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai dan calon BN Parlimen Kuala Krai bagi PRU13, Tuan Aziz Tuan Mat.
Pengumuman tersebut dibuat di hadapan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada Program Hijrah 2.0 di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan di sini.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment