Pegawai Satu direman

Monday, July 30, 2018

Pegawai Satu direman

Pegawai Satu direman

KUALA TERENGGANU -  Seorang pegawai teknikal yang bertugas di Ibu Pejabat Syarikat Air Terengganu (Satu) direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan berkait tuntutan palsu yang dibuat seorang kontraktor berjumlah RM11,060, pada Disember tahun lalu.

Suspek berusia 34 tahun itu disyaki berpakat dengan seorang kontraktor untuk mengemukakan tuntutan palsu berkait kerja-kerja menanggalkan bumbung dari jenis 'metal deck' yang rosak dan membekalkan serta memasang bumbung baharu di garaj Depo Agihan, Gong Badak, Kuala Nerus.

Selain itu, suspek disyaki berpakat dengan kontraktor yang juga pengurus syarikat terbabit membuat tuntutan palsu kerja-kerja membaiki Gutter dan salinan air turun yang rosak di lokasi tersebut sedangkan kerja-kerja dinyatakan tidak dibuat syarikat itu.

Semalam, suspek ditangkap di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Terengganu, kira-kira jam 1 petang.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latif bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Bagi kesalahan itu, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai tuntutan yang telah dibuat atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Semalam, Sinar Harian ada melaporkan seorang kontraktor Satu, 50, direman tujuh hari, bagi membantu siasatan kes berkaitan tuntutan palsu berjumlah RM11,060, pada Disember tahun lalu.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment