Bermula ketika usia emas
TIADA istilah terlambat untuk memulakan sesuatu perniagaan. Asalkan minat dan kita berusaha mencapainya.
itulah yang dilalui Pengasas Kayu Warisan Malaysia, Mohamad Isa Saad dalam perniagaan Kayu Warisan Malaysia yang diusahakan.
Selain minat, dia juga begitu menghargai ukiran dan kraf kayu yang merupakan hasil seni tradisi Melayu yang terulung. Keunikan ukiran dan kraf kayu boleh dilihat daripada keindahan yang terdapat pada panel ukiran.
Nilai estetiknya pula diambil kira pada keindahan ukiran, konsep, komposisi, pemilihan bahan, teknik dan kemasan.
Konsep dan olahan idea pada motif ukiran mampu menambah-nilai sebuah penghasilan berseni dalam karya ukiran.
Seni ukiran kayu dalam kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja terdapat pada rumah tetapi penjelmaan dan penerapannya juga terdapat pada istana raja, binaan masjid dan mimbarnya, surau, wakaf, pintu gerbang dan perhiasan rumah.
Bagi Isa seni tersebut boleh saja diaplikasikan dalam pembuatan perabot seperti almari, katil, kerusi, meja dan alatan memasak dan pelbagai eksesori.
Ia suatu yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Kerana itu Isa tidak kekok memulakan perniagaan kraf kayu meskipun melewati usia 50 tahun.
Walaupun bekerja dalam dunia korporat dan tiada pengalaman dalam kesenian kraf kayu namun, usia emas tidak menghalang Isa untuk menuntut ilmu seni ukiran.
âBekerja dalam bidang korporat, membuatkan saya mahu beralih angin. Usia 50 tahun, tidak pernah pegang peralatan pertukangan, tetapi kerana minat, saya belajar dengan seorang guru di Behrang. Ukiran pertama ada membuat sarung parang.
âBermula dari sini saya memulakan bisnes dengan mengambil tempahan tongkat bermodalkan RM2,500. Antara pelanggan terawal saya adalah penyanyi dan pendakwah bebas, Akhil Hayy dan pendakwah serta ahli politik Datuk Dr Hasan Mohd Ali,â katanya.
Hasilkan kraf kayu berkualiti tinggi
Selain tongkat, Isa juga menghasilkan tasbih yang diperbuat daripada kayu-kayu eksotik.
Melihatkan potensi tinggi dan mampu berkembang lebih maju, Isa membuka kilangnya sendiri di Kampung Selangor Dredging, Dengkil, Selangor.
Perniagaan yang turut diusahakan bersama anak-anaknya mula berkembang dari penghasilan tongkat kepada peralatan masjid seperti mimbar, meja ceramah pendakwah, tabung masjid.
âKeuntungan yang saya peroleh, kemudiannya saya laburkan membeli mesin. Berkonsepkan moden teknologi, kesemua kraf kayu yang dihasilkan di Kayu Warisan Malaysia (KWM) menggunakan teknologi laser namun khusus pada ukiran dan kesenian Islam,â katanya.
Perniagaan yang diusahakan sejak 2014, KWM kini turut menghasilkan pelbagai produk berasaskan kraf kayu.
Antaranya peralatan masjid, perabot yang ditempah khas, prop movie seperti filem terkenal Baby Driver, Jumanji, Thor Ragnarok untuk dipamerkan di panggung wayang terkemuka seperti Pavilion dan Mid Valley.
Selain itu KWM turut menghasilkan tasbih, hiasan dalaman dan cenderamata dari kayu eksotik. Kayu eksotik seperti merbau, cengal, jati Malaysia adalah jenis-jenis kayu yang tidak dijual di pasaran biasa. âMenariknya di KWM kami tidak menghasilkan produk siap, sebaliknya setiap kraf yang dihasilkan adalah berdasarkan rekaan yang diberikan pelanggan atau rekaan-rekaan baharu yang memenuhi citarasa pelanggan dan dijual pada harga berpatutan,â katanya.
Pelanggan dari serata dunia
Bagi memudahkan pelanggan mendapatkan gambaran mengenai setiap produk yang dihasilkan di KWM, sebuah galeri dibuka untuk kunjungan orang ramai.
âKami menerima ramai pelawat yang mahu melihat produk yang dihasilkan seperti mimbar, dan kayu ukiran yang lain secara lebih dekat.
â50 peratus produk yang dihasilkan adalah peralatan masjid seperti mimbar dan cokmar. Pelanggan adalah dari Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan sekitar Lembah Klang.
âTidak ramai yang boleh membuat mimbar dan cokmar, kerana itu memberi kelebihan kepada kami, selain menawarkan produk kualiti dan bermutu tinggi,â katanya.
Tambahnya, KWM menerima tempahan mimbar dan meja pencerahan untuk masjid setiap hari.
Menariknya KWM turut menerima tempahan dari golongan kenamaan yang inginkan sentuhan magisnya diterjemahkan ke dalam bentuk perabot Istana di Jalan Duta selain menghasilkan cokmar untuk istiadat konvokesyen universiti.
Selain daripada pelanggan tempatan, KWM turut dikenali di luar negara.
Pelanggannya adalah dari serata dunia seperti Brunei, Amerika Syarikat, Thailand, Singapura, Indonesia, China, Jepun dan Hong Kong.
âMereka amat kagum dengan menyukai produk kita tambahan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Pernah suatu ketika ada pelanggan kami yang datang dari China, terus ke KWM semata-mata mendapatkan barangan kraf KWM,â katanya.
Usia emas bukan halangan untuk berjaya
Usaha, tawakal, jujur dan ikhlas adalah kunci kejayaan yang dipegang Isa untuk mengejar cita-cita dan menggapai impiannya pada hari ini.
Tanpa usaha dan kecekalan yang tinggi, tidak mungkin dia mampu berada di tahap ini apatah lagi usianya tidak terlalu muda.
âUsia 50 tahun bukan faktor untuk kita memulakan apa juga bidang. Usia juga bukan penentu kita tidak boleh menuntut dan menambah ilmu.
âBagi saya ia tidak mustahil belajar dan melakukan sesuatu yang kita suka pada usia 50 tahun sekali pun kerana saya suka. Seni dan kraf kayu itu jiwa saya.
Usia belajar sesuatu pada usia 50 tahun tidak mustahil saya suka ini kerana ia jiwa saya. Kerana saya sukakan seni dan kayu,â katanya.
KWM yang kini mempunyai seramai sembilan kakitangan termasuk pereka dan staf bahagian pemasaran dan produksi, berhasrat melebarkan perniagaan dengan menghasilkan produk inovatif dan cenderamata.
"Misi kami adalah menghasilkan produk berasaskan kayu berkualiti tinggi pada harga mampu milik.
"Selain itu kami juga berhasrat menjadi peneraju kraf kayu berasaskan teknologi terkini yang komprehensif dengan memiliki tenaga kerja berkemahiran dan terlatih untuk pembangunan masa depan negara dalam industri kayu," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment