Kerajaan Johor akan lancar HJ 1.8
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan melancarkan pelan induk (blueprint) baharu dikenali sebagai Harapan Johor Satu Matlamat Satu Tujuan Lapan Teras (HJ 1.8) bulan depan.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, pelan induk yang merencanakan perancangan masa depan Johor itu akan dilancarkan bersempena 100 hari Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.
Menurutnya, turut akan dilancarkan adalah moto baharu kerajaan negeri iaitu Negeri Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Bestari.
"Kita akan ada kita punya blueprint baru, perancangan masa depan negeri Johor 2020-2030. Harapan Johor, Satu Matlamat, Satu Tujuan, Lapan Teras. Itu sebab dinamakan HJ 1.8.
"Teras kita lapan, kita akan lancarkan. Blueprint baru kita untuk tempoh 10 tahun mendatang," katanya pada sidang media pada program Gotong-royong Mega Membanteras Aedes Peringkat Johor, semalam.
Osman berkata, setiap keputusan dibuat kerajaan negeri memerlukan perbincangan yang menggarapkan hala tuju dan idea yang baik.
"Jadi belum sampai 100 hari, kita dalam perancangan. Nak buat satu rumah kecil atau pondok pun makan masa berbulan. Apatah lagi nak membangunkan negeri. Mesti juga kita menggunakan kepakaran-kepakaran daripada mereka yang pakar untuk memikirkan idea-idea ini.
"Ini satu pendekatan yang kita akan buat iaitu pelancaran blueprint baru oleh Kerajaan PH Johor. Selain itu kita juga akan mengumumkan beberapa perkara yang tercatat dalam tawaran manifesto PH Johor," katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri berkeyakinan 10 akujanji untuk tempoh 100 hari yang ditawar PH Johor akan dapat dipenuhi.
"Sekarang ini 85 peratus (diluluskan untuk dipenuhi), 15 peratus lagi dalam peringkat akhir. Jadi insya-ALLAH kita tidak akan menggagalkan segala harapan rakyat terhadap kerajaan PH ini," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment