Kes Kelvin Morais: Tertuduh mengaku padam nombor casis
KUALA LUMPUR - Tertuduh ketujuh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais mengaku membantu bekas tertuduh kedua memadamkan nombor casis dan nombor enjin kenderaan Kevin Morais pada 4 Sept 2015, hari mangsa dilaporkan hilang.
S. Ravi Chandaran, 47, memberitahu Mahkamah Tinggi dia melakukan perkara itu setelah didesak G. Gunasekaran, bekas tertuduh kedua dalam kes itu yang telah bebas.
Beliau berkata, proses pemadaman nombor casis dan nombor enjin terhadap kereta jenis Proton Perdana V6 milik Kevin Morais dilakukan di bengkel di Sunway Mentari, Selangor selepas kereta yang dipandu Kevin Morais dilanggar di Jalan Dutamas Raya di sini.
âJay (Gunasekaran) ada bertanya saya macam mana hendak melupuskan keterangan (identifikasi) kenderaan, saya beritahu jika kita hilangkan nombor casis dan nombor enjin, keterangan kereta akan hilang. Saya bertanya kenapa, pada masa itu Jay berkata untuk (memadamkan identifikasi) kereta ini,â katanya.
Ravi Chandaran berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Peguam V. Rajehgopal pada prosiding bela diri hari ke-18 hari ini.
Menceritakan lanjut, tertuduh berkata ketika itu dia terkejut dan tertekan dengan permintaan Gunasekaran yang lebih dikenalinya sebagai Jay itu.
Kepada soalan Rajehgopal kenapa tertuduh terkejut dan tertekan, Ravi Chandaran berkata kerana dalam pengetahuannya pemadaman nombor casis dan nombor enjin dilakukan pada kenderaan curi sahaja sedangkan kereta Kevin Morais sepatutnya dihantar untuk dibaiki selepas terlibat pelanggaran dengan kenderaan Mitsubishi Triton dipandu tertuduh keenam, S.Nimalan, 25, pada hari sama.
âJay mendesak saya memadamkan atau menghilangkan nombor casis dan nombor enjin. Saya tanya kenapa, dia tidak ceritakan, dia kata dia adalah kawan saya dan mesti ada sebab jika dia kata apa-apa,â katanya yang menambah dia kemudian tidak membantah permintaan Jay itu lalu membantu Jay melakukan proses pemadaman tersebut.
Ravi Chandaran bagaimanapun berkata, dia yang berterusan sangsi dengan tindakan Jay itu kemudian telah pergi ke sebuah pejabat di Berkeley, Klang, di sini, untuk berjumpa dengan seorang doktor, pada hari sama.
Menjawab soalan Rajehgopal, siapakah doktor itu dan apakah kaitannya dengan Jay, tertuduh berkata doktor itu ialah Kolonel Dr R. Kunaseegaran yang merupakan tertuduh pertama dalam kes itu dan dia yang telah lama mengenali Dr Kunaseegaran pernah memperkenalkan Jay kepada doktor itu.
Tertuduh turut memberitahu tujuannya bertemu Dr Kunaseegaran adalah untuk bertanyakan doktor itu tentang pemadaman nombor casis dan enjin kereta kerana Dr Kunaseegaran sebelum ini juga pernah bertanyakan perkara sama kepadanya.
âSaya ada berbual dengan doktor, saya bertanya adakah beliau membuat apa-apa bersama Jay tanpa pengetahuan saya?. Doktor beritahu tiada apa-apa. Saya menyuruh dia beritahu perkara benar, saya lontarkan kunci kereta Kevin Morais di atas meja di pejabat dia, dia bertanya apakah ini, saya beritahu ini adalah kunci kereta DPP (Timbalan Pendakwa Raya) yang kendalikan kes kamu,â katanya.
Kepada soalan Rajehgopal bagaimana reaksi Dr Kunaseegaran ketika itu, tertuduh berkata âdia kelihatan normalâ,.
Ravi Chandaran berkata dia turut menceritakan kepada Dr Kunaseegaran tentang pelanggaran yang berlaku antara Mitsubishi Triton dan kereta Kevin Morais pada awal pagi di sekitar kondominium Kevin Morais, namun Dr Kunaseegaran tidak memberi apa-apa respons.
R. Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar, M. Vishwanath; Nimalan, Ravi Chandaran, dan Dr Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Septr 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan dan Ravi Chandaran, diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 10 Ogos. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment