Jangan lupa raja ialah ketua agama
SHAH ALAM - Penubuhan Jawatan Kuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan memperkasakan lagi kuasa dan peranan raja-raja sebagai ketua agama Islam.
Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang berkata, usaha itu menjadikan pentadbiran Islam di peringkat pusat akan lebih berkesan.
Paling penting, katanya, ia menggambarkan sebesar mana pun bidang kuasa pentadbiran mengenai Islam di peringkat pusat melalui agensi dan institusi sedia ada, namun ia sama sekali dilihat tidak membelakangi raja-raja.
"Menurut Perlembagaan negara, raja-raja menjadi ketua agama di negeri-negeri dan di peringkat pusat pula ada disebutkan Islam agama Persekutuan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
"Ini mesti mencerminkan kuasa raja-raja yang selama ini tidak dipandang berat, sekarang dikembalikan di peringkat pusat ini kepada kuasa raja-raja. Jadi di sini, agensi-agensi atau institusi agama hanya sebagai eksekutif iaitu pelaksana. Paling penting, ia tidak boleh dijadikan tunggangan parti politik pihak yang berkuasa," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas pandangannya mengenai penubuhan jawatan kuasa itu.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh Jawatankuasa Tertinggi Insititusi Hal Ehwal Islam]
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan hari ini berkata, Raja-Raja Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai lima tokoh pentadbir, agama dan akademik, dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, fungsi jawatan kuasa itu yang akan mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan selari dengan hasrat kerajaan PH seperti dijanjikan dalam menifesto.
"Kerajaan Harapan bukan sahaja mahu meningkatkan struktur (agensi dan institusi agama Islam) dan format, tetapi juga akan memastikan dakwah dan nilai-nilai Islam seperti yabg dinyatakan dalam jawatan kuasa untuk memperkasa dan pertingkatkan Islam termasuk dakwah, isi kandungan dan bidang-bidangnya.
"Cabaran kita sekarang adalah dunia global mengancam Islam seolah-olah Islam dilihat agama keganasan. Semua ini mesti ditangani dengan kefahaman dan ajaran konsep Islam yang hakiki berasaskan al-Quran dan sunnah," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment