Dari Goh-Peng ke Gopeng

Sunday, July 29, 2018

Dari Goh-Peng ke Gopeng

Dari Goh-Peng ke Gopeng

GOPENG - Terletak kira-kira 20 kilometer dari ibu negeri Perak-Ipoh, bandar Gopeng sebenarnya merupakan satu lokasi cukup unik kerana dikelilingi bandar-bandar besar.

Selain Ipoh, bandar Gopeng ini juga berada di lingkaran bandar Kampar yang berada di bahagian Selatan dan Batu Gajah (Barat).

Keadaan itu menjadikan kawasan Gopeng tidak lari dari kesibukan kenderaan.

Umum mengetahui nama Gopeng ini kerana di situ tersimpannya gua batu kapur yang selamat untuk diterokai iaitu Gua Tempurung juga Gua Kandu.

Mengikut kata orang terdahulu, terdapat dua versi cerita bagaimana nama Gopeng ini wujud.

Pertama adalah melibatkan nama orang, iaitu individu yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bijih timah.

Pekan Gopeng yang suatu ketika dulu terkenal dengan aktiviti perlombongan.

Goh-Peng, seorang pelombong dari China datang ke negara ini berikutan kes kebuluran dan bencana banjir besar di negaranya.

Kehadirannya ke kawasan itu yang suatu ketika dulu terkenal dengan industri perlombongan bijih timah telah membuka satu lembaran baharu terhadap corak pembangunan di kawasan pekannya.

Anak jati Gopeng yang juga merupakan generasi ketika penduduk di situ,

Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali, 46, berkata, sebelum wujudnya nama Gopeng, kawasan berkenaan lebih dulu dikenali sebagai Gunung Mesah.

Katanya, kekayaan hasil bijih timah di kawasan Kinta termasuk Gunung Mesah suatu  masa dulu telah menarik kemasukan orang Cina untuk bekerja dan menjadi penduduk di situ.

Antara perkampungan yang ada di Gopeng.

Menurutnya, aktiviti perlombongan yang aktif di situ, menyebabkan wujudnya satu lagi kawasan baharu yang kini dikenali pekan Gopeng.

“Goh-Peng ini ibarat ketua kepada pelombong yang ada, arwah bapa saya cerita, jika ada masalah seperti pergaduhan berlaku melibatkan pekerja, maka Goh-Peng ini lah yang dicari tok sidang.

“Hasil usaha keras dilakukan Goh-Peng, dia juga menjadi antara pelombong berjaya di sini dan namanya menjadi sebutan ramai hingga terciptanya Gopeng hasil gabungan Goh-Peng,” katanya.

Kesan tinggalan aktiviti perlombongan di kawasan ini boleh dilihat melalui monumen-monumen yang didirikan antaranya paip air besar sepanjang 15km yang berfungsi untuk menyalurkan air bersih dari kawasan gunung ke kawasan perlombongan bijih timah.

Monumen paip besar Gopeng telah dibina pada 1908 untuk menjadi mercu tanda kegemilangan industri perlombongan timah di Gopeng.

Monumen paip besar yang masih boleh dilihat di pekan Gopeng.

Ahmad Tarmizi berkata, nama Gunung Mesah kini diabadikan di peringkat kampung sahaja iaitu Kampung Gunung Mesah yang terletak di tepi jalan utama dari Gopeng ke Kampar.

Katanya, Kampung Gunung Mesah ini diduduki oleh orang Melayu, majoritinya berketurunan Rawa, keadaan itu jauh berbeza dengan kependudukan di pekan Gopeng yang majoritinya adalah kaum Cina.

Dalam versi berbeza, Ahmad Tarmizi berkata, nama Gopeng juga diambil sempena nama sejenis buah pulai yang banyak ditemui dalam keadaan gopeng yang bermaksud telah ditebuk tupai.

Menurutnya, pokok pulai memang mudah didapati di sekitar kawasan itu suatu ketika dulu dan buahnya banyak digunakan bagi tujuan perubatan.

“Kerana itu dalam Parlimen Gopeng ini, ada satu kawasan Dun dinamakan Simpang Pulai, orang-orang lama kata ia diambil sempena nama pokok berkenaan,” katanya.

Meskipun hanya bertaraf pekan kecil, Gopeng sebenarnya telah melahirkan ramai pemimpin hebat dan artis terkemuka antaranya kebetulan ramai pemimpin hebat bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin; kumpulan trio adik beradik-KRU, kumpulan rock 80-an, Riyadh juga penyanyi dan pendakwah bebas, Ustaz Akhil Hayy.

Muzium Gopeng dibina untuk generasi kini melihat sejarah perkembangan Gopeng.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment