Kerajaan Persekutuan tidak tunai janji royalti

Tuesday, July 31, 2018

Kerajaan Persekutuan tidak tunai janji royalti

Kerajaan Persekutuan tidak tunai janji royalti

KOTA BHARU - Kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai royalti minyak Kelantan memperlihatkan kerajaan persekutuan mungkin tidak menunaikan janjinya mengenai tuntutan tersebut.

Setiausaha Pas Negeri, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi berkata, pihaknya menegaskan bahawa janji 20 peratus royalti adalah berasaskan keuntungan dan bukannya berasaskan pengeluaran sepertimana difahami.

“Kenyataan ini sesungguhnya amat mendukacitakan rakyat di negeri-negeri pengeluar petroleum kerana ia bertentangan dengan janji manifesto PH pada pilihan raya yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan disini.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan PH dikatakan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil.

Ahli Parlimen Tumpat itu juga berkata, jelas dalam kenyataan manifesto sebelum ini merujuk kepada hasil petroleum, bukannya keuntungan.

“Perkara ini juga dinyatakan dalam Perjanjian Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petroliam Nasional Berhad pada 9 Mei 1975.

“Malah, jawapan Perdana Menteri merujuk kepada Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 12 November 1975 juga menjelaskan bahawa royalti dibayar berdasarkan 'nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi di negeri-negeri masing-masing'.

“Berdasarkan justifikasi yang dinyatakan, saya berpendirian jelas bahawa royalti adalah pembayaran wang tunai berdasarkan kepada pengeluaran (gross production).

“Ini juga konsisten dengan maksud asal royalti itu sendiri, berbeza dengan nama dividen dan sebagainya. Namun, pendirian kerajaan selepas memenangi pilihanraya adalah berbeza dari manifestonya. Sekali lagi rakyat tertipu,”katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment